Monday, December 13, 2010

Umno buat tanah Kampung Baru macam hak Umno

Akta Kampung Baru : Tunggu 'Lampu Hijau' Dulu


















KUALA LUMPUR, 14 Dis. : Tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional membentangkan Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru yang dibacakan buat kali pertama di Parlimen hari ini dilihat mengenepikan hak pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar ketika mengulas isu berkenaan kepada portal Themalaysianinsider berkata, seandainya mahu membentangkan rang undang-undang tertsebut di Parlimen, maka 'lampu hijau' haruslah diterima terlebih dahulu dari pemilik tanah tersebut.

“Saya mempersoalkan keikhlasan kerajaan untuk bincang perkara ini (Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru), kenapa tidak bentangkan dulu kepada penduduk sebelum dibawa ke Parlimen?

“Ini kerana kalau nak bentang (di Parlimen) rang undang-undang itu harus mendapat persetujuan penduduk terutamanya pemilik dan pewaris tanah.

“Kerajaan perlu dapatkan persetujuan terlebih dahulu, baru boleh bentang. Bagi saya tindakan kerajaan ini melanggar hak penduduk di sana,” ujar dipetik dari Themalaysianinsider.

Lantaran itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja zainal Abidin didesak supaya membatalkan hasrat membentangkan rang undang-undang yang dijadual berlangsung hari ini.

Mahfuz juga mahu Raja Nong Chik membentangkan rang undang-undang itu kepada semua pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru dan mendapatkan persetujuan mereka terlebih dahulu.

“Tindakan kerajaan ini seolah-olah dah buat kata putus tentang masa depan Kampung Baru apabila mahu bentangkan ia di Parlimen esok (hari ini).

“Jadi, saya minta beliau (Raja Nong Chik) supaya tangguhkan dulu pembentangan di Parlimen selagi ia masih belum mendapat persetujuan daripada penduduk,” katanya.

Beliau juga mahu Raja Nong Chik membentangkan dengan terperinci kandungan Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru kepada penduduk dan juga kepada Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru.

“Kita mahu draf rang undang-undang ini dijelaskan dulu dengan terperinci kepada penduduk dan juga MAS. Mereka perlu tahu fungsinya, apa kesan kepada Kampung, semua ini penduduk perlu tahu.

“Jadi bila kerajaan ambil keputusan untuk bacaan kali pertama esok (hari ini) seolah-olah mengetepikan hak penduduk untuk tahu apa yang ingin kerajaan lakukan kepada kawasan mereka,” katanya.

Minggu lalu, Raja Nong Chik berkata, Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru akan dibahaskan Parlimen Mac depan dengan bacaan kali pertama hari ini.

Menurut Raja Nong Chik, satu pertemuan juga akan diadakan dengan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru malam ini untuk membentangkan dengan terperinci kandungan rang undang-undang itu.

Pertemuan dengan penduduk Kampung Baru malam ini melibatkan dua buah kampung iaitu Kampung Hujung Pasir dan Pasir Periuk, dianggarkan kira-kira 300 penduduk terdiri daripada pemilik dan pewaris tanah akan hadir mendengar pembentangan itu yang akan disampaikan Raja Nong Chik.

Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar. Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 orang.

Kampung Baru mempunyai tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

No comments: