Sunday, January 16, 2011

Barang dah naik, tol pun naik juga

Bantah kenaikan tol Lekas

SEREMBAN, 16 Jan. : Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini menganjurkan demonstrasi bagi mendesak syarikat konsesi Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas) Sdn Bhd agar tidak menaikkan kadar tol dalam masa terdekat, semalam.

Demonstrasi berkenaan diketuai Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook dan diadakan di lokasi berhampiran Plaza Tol Paroi, dekat sini.

Mereka berbuat demikian selepas mendapat tahu bahawa kadar tol di lebuh raya berkenaan akan dinaikkan daripada sumber yang tidak didedahkan mereka.

Kira-kira 100 pemimpin dan ahli parti-parti komponen PR menyertai demonstrasi yang bermula jam 11 pagi hingga 12 tengahari itu.

Antara barisan kepimpinan yang hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senawang, P Gunasekaran; ADUN Mambau, Wong May May; ADUN Bukit Kepayang, Cha Kee Chin; ADUN Temiang, Ng Chin Tsai; ADUN Bahau, Teo Kok Seong; ADUN Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani dan ADUN Sikamat, Aminuddin Harun.

Menurut Siew Fook yang juga Ketua Pembangkang di negeri ini, ada sumber memberitahu beliau kadar tol Lekas mungkin dinaikkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti sumbernya itu kepada media.

“Saya juga akan membentangkan usul membantah kenaikan kadar tol Lekas di Parlimen kerana ia dikhuatiri membebankan pengguna lebuh raya ini,” katanya.

Demonstrasi aman itu bersurai tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.SH

No comments: