Sunday, January 16, 2011

Pemuda PAS anjur Forum 100 hari Pakatan Rakyat


PETALING JAYA, 17 Jan.: Pemuda PAS akan mengadakan forum janji 100 hari Pakatan Rakyat di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur malam esok.

Ketua Penerangan, Suhaizan Bin Kaiat dalam satu kenyataan berkata forum tersebut bertujuan membahaskan pro dan kontranya cadangan Pakatan Rakyat selepas 100 hari memerintah.

Bagi mendapat pandangan yang seimbang daripada semua pihak Pemuda PAS berusaha menjemput parti-parti komponan Barisan Nasional (BN), NGO dan ahli akademik menyertai forum tersebut.

Mereka yang diundang ialah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Datuk Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi), Datuk Nur Jazlan Bin Mohamed ( Ahli Parlimen Pulai), Dr Zubir Bin Harun (Naib Presiden Perkasa), Senator Datuk Akbar Ali (Bekas Timbalan Ketua pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia), Mohd Yusof Bin Abd Rahman (Bendahari Agung Fomca) dan wakil Parti Gerakan.

“Bagaimana pun setakat hanya Saifuddin, Fomca dan Gerakan sahaja yang telah memaklumkan bahawa mereka tidak dapat hadir atas sebab tertentu.

“(Bagaimanapun) Dewan Pemuda PAS Pusat cukup optimis bahawa mereka akan membuat pengesahan kehadiran dalam waktu terdekat ini khususnya Khairy Jamaluddin.

“Insya Allah, kehadiran mereka atau wakilnya sangat penting bagi membangunkan minda rakyat setara dengan negara-negara maju yang menjadikan pidato, debat dan forum sebagai medan menguji kekuatan, kesungguhan dan kemampuan memerintah negara pada masa hadapan,” katanya.

Manakala, Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Bin Ahmad, Tony Pua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara) dan Rafizi Ramli ( PKR) mengesahkan akan hadir.

Moderator forum adalah Mazli Noor seorang ahli perniagaan.

No comments: