Sunday, January 2, 2011

Berlindung di atas nama Istana

Umno heret istana, mainkan sentimen Melayu dalam isu pelantikan SUK Selangor

KUALA LUMPUR, 2 Jan. : Umno sekali lagi memperalatkan istana demi kepentingan politik mereka dan menggunakan sentimen Melayu untuk memberi gambaran bahawa Pakatan Rakyat menentang institusi di raja dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi.

Menurut Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli, terdapat dua cara pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor akan disabotaj oleh Umno seandainya Khusrin memegang jawatan sebagai SUK kelak.

“Pertama, ia akan mengganggu kelancaran pentadbiran kerana kakitangan awam menerima arahan daripada SUK. Apabila ada SUK yang memang menjadi musuh (kepada kerajaan negeri), tidak ada keraguan tentang kemungkinan berlakunya sabatoj.

“Yang kedua ialah cubaan kaitkan dengan sultan seperti yang berlaku di Perak. Padahal perancangan ini perancangan Umno, tetapi mereka mainkan isu seolah kita lawan lantikan sultan.

“Sekarang taktik ke arah itu, iaitu jejaskan pentadbiran dan wujudkan seolah-olah ada krisis istana dengan pentadbiran negeri dengan harapan orang melayu marah dengan kerajaan negeri. Mereka guna Sultan supaya mereka boleh main dengan sentimen perkauman orang melayu bahawa Dap dan KEADILAN sebagai anti melayu dan raja,” ujarnya.

Ironinya, kata Rafizi, sewaktu krisis Perlembagaan 1993, Umno bersungguh-sungguh menghapuskan kekebalan sultan, sesuai dengan kepentingan politik mereka pada waktu itu.

Rafizi juga tidak menolak pelantikan itu sebagai taktik untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri sekiranya Pakatan tidak berbuat demikian pada Pilihan Raya Umum akan datang, namun beliau percaya situasinya tidak sama seperti berlaku di Perak kerana majoriti kerusi Dun di Selangor masih memihak kepada Pakatan.

“Yang ini Umno kena ingat, tidak mudah untuk meniru apa yang dibuat di perak sebab keadaan berbeza. Atas dasar apa Dun dibubarkan dalam keadaan majoriti 2/3 berada pada Pakatan.

“Perkara mendesak yang kita perlu uruskan segera daripada isu pelantikan ini adalah usaha Umno untuk mengganggu kelancaran pentadbiran serta memberi gambaran Pakatan Rakyat di Selangor cuba memusuhi pentadbiran istana,” kata Rafizi.

Upacara mengangkat sumpah pelantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, akan dilakukan di hadapan Sultan Selangor 6 Januari ini.

Walaubagaimanapun pakar-pakar perlembagaan berhujah upacara Khamis depan itu sebagai “tidak sah” memandangkan perlembagaan negeri menyebut bahawa upacara seumpama itu perlu dilaksanakan di hadapan Menteri Besar dan bukannya Sultan Selangor, sepertimana yang terkandung dalam Artikel 52 (4) perlembagaan negeri.

Peguam veteran Karpal Singh dilaporkan berkata, perkembangan itu akan membawa kepada krisis perlembagaan sepertimana yang berlaku pada 1983 dan 1993 kerana ia tidak selari dengan perlembagaan negeri.

“Sultan perlu mendapatkan nasihat perundangan daripada penasihat undang-undang negeri sebelum majlis angkat sumpah diteruskan. Dalam perkara-perkara seperti ini, Sultan bertindak atas nasihat Eksekutif, Tuanku tidak boleh bertindak sendirian,” katanya.

Pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari pula menyifatkan majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai “amalan baru” yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Menurut beliau, tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri Selangor yang memerlukan pegawai-pegawai kanan negeri mengangkat sumpah di hadapan Sultan. Sehubungan itu beliau juga melihat perkembangan tersebut akan membawa implikasi baru dalam politik dan perundangan negara serta memberi kesan ke atas negeri-negeri lain.

No comments: