Sunday, January 2, 2011

GPMS ikut perangai Umno, tuduh semberono

Isu SUK : GPMS Selangor Disaran Baca Keseluruhan,Kata Shuhaimi


SHAH ALAM 2 Jan.: Dilabel sebagai biadap oleh Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mohd Faizal Salleh dalam akhbar Sinar Harian hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei tampil membela diri.

Menurut Shuhaimi yang ditemui di Tv Selangor hari ini, pihak NGO itu tidak membaca keseluruhan pendapatnya yang boleh diakses dalam laman blog srimuda.blogspot.com mengenai hal tersebut dan ia berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor yang diwartakan pada tahun 1959.

Komen itu dibuat oleh Shuhaimi berikutan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

"Mereka tidak meneliti. Dan kalau hanya merujuk kepada Utusan Malaysia dan akhbar lain yang melaporkan separuh, itu tidak adil dan saya menasihatkan mereka untuk meneliti penuh dan kalau sekiranya apa yang saya utarakan itu menyalahi Undang-undang kerajaan negeri, maka saya tidak ragu-ragu mohon kepada DYMM Tuanku untuk menghadap dan menjelaskan," katanya.

Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor mendapat pertikaian dari Pakatan Rakyat kerana ia tidak berlandaskan norma undang-undang negara khususnya Fasal 52 (1) Undang-Undang tubuh kerajaan Negeri 1959.

Menurut entri 30 Disember lalu, Shuhaimi menyatakan Fasal 55 (1), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, bahawa baginda DYMM Sultan Selangor hendaklah menjalankan fungsi baginda mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco negeri.

Selain itu, beliau turut menulis pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagaimana yang diperuntukkan oleh Fasal 52 (1), hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dan tidak menyatakan perlunya untuk mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor.

Beliau menjelaskan hal itu adalah untuk memastikan Institusi Diraja dihormati dan bukan dilanggar dan dieksploitasi pihak lain.

"Apa yang kita luahkan ini adalah untuk mahukan institusi ini dihormati. Bukan sahaja kepada orang Melayu. Tapi kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini. Hasrat kita ialah mahu memperkukuh dan mempertahankan sebab ia lambang raja berpelembagaan yang wujud dalam negara kita sejak capai kemerdekaan," jelasnya.

Beliau turut menyatakan tidak kisah langsung dengan label biadap dan lain-lain yang diberikan GPMS kerana menganggap ia tidak bermakna.

"Saya bukan orang pertama yang pernah dilabel sebagai kurang ajar dan biadap oleh GPMS. Tapi label hanya sekadar label sahaja. Tiada maksud kerana bagi saya mereka ini tidak habis belajar," katanya sinis.

No comments: