Monday, January 31, 2011

Buat laporan audit menyeluruh

Kementerian Kesihatan disaran buat laporan audit

http://www.thenutgraph.com/user_uploads/images/2009/09/18/180909_TEMPLE_JK.jpgSHAH ALAM , 1 Feb. : Kerajaan Negeri Selangor menyarankan Kementerian Kesihatan supaya membuat laporan audit secara menyeluruh berhubung aspek pembinaan bagi seluruh bangunan hospital di negara ini.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, laporan audit itu dibuat bertujuan untuk memastikan tidak berlakunya pembinaan bangunan yang kurang berkualiti sehingga boleh membahayakan pesakit di masa hadapan.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengatasi masalah ini kerana tugas tersebut adalah di bawah tanggungjawab kerajaan Pusat.

“Saya berpendapat masalah ini tidak mungkin akan berlaku sekiranya pembinaan hospital tersebut mengikut spesifikasi pembinaan yang telah ditetapkan.

“Saya juga mahu cadangkan kepada Kementerian Kesihatan supaya membuat audit berhubung aspek pembinaan sesebuah hospital di negara ini, ini bertujuan bagi mengelakkan berlakunya kes pembinaan hospital kos rendah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau juga melahirkan perasaan khuatir masalah ini akan berterusan sekiranya masalah pembinaan tidak mengikut spesifikasi seperti yang berlaku di Hospital Serdang.

“Nasib baik tiada pesakit yang mengalami kecederaan ketika melalui laluan pejalan kaki di hospital itu,” katanya.

Kelmarin, siling di kawasan lobi utama Hospital Serdang dilaporkan runtuh, dipercayai insiden pertama seumpamanya yang berlaku di hospital itu sejak ia mula beroperasi pada Disember 2005.

Insiden yang berlaku kira-kira 12.30 malam itu telah mengakibatkan bahagian-bahagian dan serpihan siling bertaburan di kawasan lantai lobi.

Jurucakap hospital berkata, tiada kecederaan yang berlaku kerana ketika kejadian tiada orang awam atau pelawat berada di sekitar lokasi.

No comments: