Monday, January 31, 2011

Pemuda PAS teguh bersama rakyat Mesir

KUALA LUMPUR, 31 Jan: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melahirkan pendiriannya akan berdiri teguh bersama rakyat Mesir yang memperjuangkan Islam, mempertahankan kedaulatan negara, memperbaiki kestabilan politik dan ekonomi serta mengembalikan kesejahteraan rakyat.

Mereka turut menolak sebarang bentuk pengaruh daripada Amerika Syarikat dan Israel dalam pembentukan polisi Mesir, di samping berharap agar pemerintahan baru di negara itu dapat membantu negara umat Islam di Palestin secara konsisten dan menjadi asas kepada kesatuan negara-negara Arab di Timur Tengah.

Ketua DPPP, Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi menegaskan, DPPP mengutuk keras sebarang bentuk kekerasan dan kekasaran yang dilakukan oleh regim Hosni Mubarak terhadap peserta demonstrasi serta menuntut agar desakan mereka dilayan secara profesional dan adil.

Menurut beliau, ini termasuklah membebaskan kesemua tahanan peserta demonstrasi dan pengamal media kerana ia bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru kepada sebarang usaha ke arah pembubaran Parlimen Mesir dan penganjuran pilihanraya umum yang telus dan bersih.

"Pihak penganjur pilihanraya mestilah bebas daripada sebarang campur tangan parti politik, di samping menjamin kebebasan media untuk melaporkan perkembangan dan hasrat rakyat kepada pengundi dan masyarakat luar," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi memorandum khas DPPP yang diserahkan bersama memorandum yang diserahkan oleh para pemimpin PAS, Pakatan Rakyat dan beberapa NGO kepada kedutaan Mesir, di sini, hari ini.

Menerusi memorandum itu, DPPP turut melahirkan sokongan dan komitmen solidariti kebangkitan rakyat Mesir menentang regim autokratik Hosni Mubarak.

"Penentangan rakyat Mesir adalah manifestasi penolakan prinsip ketidakadilan, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah sejak beberapa dekad yang lalu," katanya.

DPPP turut mengucapkan tahniah khususnya kepada golongan muda yang berani dan aktif menyertai agenda revolusi bagi menuntut keadilan dan pembaharuan di Mesir.

"Malah, kami mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga mangsa yang terkorban mahupun tercedera dalam saingan revolusi ini," tegasnya.

Pergolakan politik di Mesir kini adalah ekoran kejatuhan regim pemerintah Zein Al-Abidin di Tunisia lalu menjalar ke beberapa buah negara jiran lain termasuk Yaman, Oman, Algeria dan Jordan.

Dengan perkembangan terbaru yang berlaku di Mesir, DPPP turut menjangkakan teori domino itu akan terus berantai sehingga memberikan kesan revolusi keadilan sedunia.

"Namun melihat perkembangan pergolakan politik hari demi hari di Mesir, DPPP melihat situasi semakin kritikal apabila pihak pemerintah tidak mengambil langkah drastik untuk menyelesaikan perkara pokok dan sebenarnya.

"Sebaliknya, mereka melakukan pembantaian terhadap peserta demonstrasi seperti menembak dengan menggunakan gas, air dan pukulan terhadap mereka. Malah lebih parah lagi apabila hubungan komunikasi melalui media baru dan telefon disekat untuk memadamkan kemaraan rakyat," katanya.

Jelas, menurut beliau, sikap yang ditunjukkan itu telah mencabul hak asasi manusia dan memburukkan wajah demokrasi di Mesir.

Berdasarkan pendedahan-pendedahan media antarabangsa, pihak berkuasa Mesir telah mengambil pendekatan kekerasan untuk mengawal dan meredakan keadaan.

"Walau bagaimanapun, desakan terhadap agenda reformasi, kestabilan, demokrasi dan kebebasan tetap menjadi agenda utama dan kami menyokong usaha tersebut," tegasnya.

Beliau berharap agar hasrat DPPP yang disuarakan melalui memorandum itu dapat disampaikan kepada pihak-pihak simpatisan dan pejuang revolusi kebangkitan rakyat di Mesir.

No comments: