Wednesday, January 26, 2011

Inilah nasib orang Melayu di negeri Umno


Peniaga rugi besar kedai roboh



KUALA PILAH , 26 Jan. : Ibarat jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib malang yang menimpa ibu tunggal, Ramnah Soan, 53, kerana bahagian depan kedainya roboh gara-gara angin kuat empat hari lalu selepas disaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada November lalu.

Ramnah berkata, tindakan menukar tiang besi daripada tiang batu sedia ada kerana menerima saman PBT. "Saya terima saman pada 29 November lalu dan kira-kira jam 4 petang, hari yang sama, saya terus menghubungi pihak berkenaan untuk mengetahui punca sebenar disaman dan ingin memohon rayuan mengurangkan jumlah saman disebabkan tidak mampu.

"Pihak berkenaan meminta saya hadir keesokan harinya dengan surat rayuan dan alhamdulillah, saya dapat kurangkan saman daripada RM500 kepada RM100 sahaja," katanya yang sudah berniaga sejak 2005. Menurutnya, dia juga harus merobohkan tiang batu dalam tempoh dua bulan daripada tarikh disaman.

"Alasan diberikan adalah mana-mana peniaga tidak boleh membina bangunan kekal batu-bata dan satu tiang batu pun tidak boleh dibina di mana-mana kedai kerana premis bukan kedai kekal.

"Saya patuh dengan arahan ditetapkan tetapi kecewa kerana masih terdapat kedai yang tidak dirobohkan sedangkan ia adalah bangunan kekal dengan menggunakan batu-bata," katanya.

Rambah berkata, masalah timbul apabila kedainya roboh kerana angin kuat dan keadaan itu menjejaskan sumber pendapatannya. "Ia membebankan saya kerana perlu melakukan kerja baik pulih. "Jika tidak merobohkan tiang batu, kedai saya mungkin boleh bertahan berpuluh-puluh tahun tetapi apabila memasang tiang besi, ia hanya mampu bertahan dua minggu sahaja," katanya.

Menurutnya, bahagian tepi kedai dan kedudukan tanah agak tidak rata, selain angin kuat memburukkan keadaan. "Saya bukan :golongan orang berada. Sekarang saya perlu menangguhkan perniagaan kerana tiada duit membina semula bahagian depan kedai.

"Dahulu, saya bina tiang batu dengan kos RM2,500 dan kini mahu membersihkan sisa runtuhan memerlukan kos RM800 pula," katanya yang mempunyai dua anak. Sementara itu, Ramnah berkata, kejadian angin ribut itu berlaku jam 1 tengah hari ketika beberapa pelanggan menjamu selera.

"Ketika kejadian, saya tiada di kedai kerana pulang ke rumah di Sungai Dua Kecil. Hanya ada pekerja dan seorang anak. Secara tiba-tiba sahaja, angin kuat lalu merobohkan tiang besi yang baru sahaja diganti beberapa minggu lalu.

"Keadaan tanah yang senget dan bebanan kayu yang berat menyebabkan tiang besi mudah tumbang. Mujur tiada kecederaan berlaku kerana pelanggan sempat melarikan diri," katanya.

Dalam pada itu, Ramnah turut merayu mana-mana agensi mahupun sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan membaik pulih kedainya kerana mengalami kesempitan wang. SH

No comments: