Wednesday, January 26, 2011

Najib pening, Umno Kedah bercempera

Umno Kedah: Najib pula suarakan kebimbangan

http://storm62.files.wordpress.com/2010/07/najib-pening1.jpg?w=200&h=242SUNGAI PETANI, 26 Jan.: Konflik dalaman Umno di Kedah turut diakui Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau sendiri merayu supaya Umno Bahagian Sungai Petani segera berdamai.

Najib semasa berucap sempena majlis 'Perdana Menteri Bersama Rakyat 1Malaysia' di Taman Sri Pinang, Tikam Batu, baru-baru ini menggesa persengketaan dalaman yang berlaku dalam Umno bahagian tersebut segera diselesaikan.

Kenyataan Najib itu dilihat mengulangi kebimbangan ramai pimpinan Umno terhadap perkembangan Umno negeri Kedah selepas rombakan pimpinan peringkat negeri dilakukan sebelum ini.

Sebelum ini, bekas Presiden Umno, Tun Mahathir Mohamed turut mendakwa wujudnya amalan 'cantas-mencantas' dalam Umno Kedah yang boleh menggugat usaha parti tersebut merampas semula negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

Walaupun kenyataannya itu dilihat berkaitan dengan perlantikan anaknya yang dikatakan tidak disenangi sesetengah pimpinan Umno Kedah, kata Mahathir, tabiat yang sekian lama menjadi amalan pimpinan Umno ini harus segera dikikis sekiranya ingin memenangi semula pilihan raya.

"Masalah ini kerap berlaku dalam pimpinan Umno. Apabila ada orang lain hendak naik, maka yang tidak dapat naik akan cuba mencantas yang hendak naik. Manakala apabila ada orang yang tidak naik mendapat kenaikan, maka yang lain pula akan mencantas yang ini," katanya.

Timbalan Pengerusi Umno Kedah yang baru dilantik, Datuk Mukhriz Mahathir turut mengakui sudah beberapa kali pertemuan diadakan dengan kumpulan yang bertelagah dalam bahagian Sungai Petani namun setakat ini belum ada perkembangan yang baik.


Mukhriz semasa bercakap kepada media di Stesen Teksi Sungei Petani kelmarin, berkata usaha untuk menyatupadukan Umno Kedah yang berpecah terlalu sukar walaupun beberapa usaha telah dilakukan.

Dalam masa yang sama ketika bertungkus lumus menyelesaikan kemelut di Sungai Petani, Umno Kedah juga sedang berhadapan dengan pertelagahan antara Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrol Hisham Hashim dengan Naib Ketua Umno Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang masih lagi panas.

Dalam perkembangan di Sungai Petani, pertelagahan antara Ali Yahya yang juga merupakan Ketua Umno Sungai Petani dengan Gerakan Anti Ali (GAA) yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dilihat semain kritikal.

Dalam satu insiden ketika mesyuarat agung Umno bahagian Sangai Petani, Julai tahun lalu, sebahagian perwakilan Umno bahagian tidak membenarkan Ali berucap dalam majlis perasmian malah mendesak Ali melepaskan jawatan kerana tidak puas hati dengan kepimpinan beliau.

Keadaan bertambah gamat apabila Naib Ketua Umno bahagian, Datuk Firdaus Zakaria dan Ketua Puteri Umno bahagian, Shahanim Mohd Yusof turut mendesak Ali selaku Ketua bahagian berundur.

Jesteru, apabila Presiden Umno sendiri menyuarakan kebimbangannya terhadap kemelut Umno di Kedah, ramai pemerhati melihat, parti itu masih berada ditakok lama walaupun kepimpinan Umno Kedah bertukar dari Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Pengerusi Perhubungan kepada Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan juga kepada Mukhriz sebagai timbalan pengerusi.

Malah beberapa sumber dalaman Umno Kedah mengakui, Mukhriz tidak dapat berbuat apa-apa bagi menyelesaikan kemelut Umno kedah termasuk Sungai Petani.

Manakala Ahmad Bashah dikatakan turut mempunyai masalah dengan Umno Kedah yang enggan menerima pelantikan beliau.

No comments: