Wednesday, January 26, 2011

Mazlan Aliman ulangi cabaran debat , Ahmad Maslan tiada respon

Hanya Mahu Berdebat Dengan Ahmad Maslan


SHAH ALAM 26 Jan. : Tindakan kumpulan pro-Umno yang mahu menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) bagi menyaingi Persatuan Anak Persatuan Penerokan FELDA Kebangsaan (ANAK) disambut sinis oleh Mazlan Aliman.

"Saya hanya mahu berdebat dengan Datuk Ahmad Maslan sahaja," Presiden ANAK) itu.

Ujarnya, walau NGO mana yang datang, cabarannya untuk berdebat dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu harus disambut dahulu.

"Saya tidak akan berdebat dengan kumpulan lain sebab mereka tidak ada kelayakan sebab isu yang kita bawa ini bukan isu politik. Ini isu masa depan warga FELDA," katanya ketika dihubungi Tv Selangor sebentar tadi.

Mazlan semalam menghantar surat tawaran kedua kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu untuk berdebat mengenai isu FELDA.

Ia antara lain untuk membahaskan beberapa masalah yang membelenggu FELDA termasuk masalah yang dialami generasi kedua dan ketiga peneroka.

Namun menyahut kepada cabaran itu ialah sebuah kumpulan baru pro-Umno yang dikenali sebagai Jawatankuasa Bertindak Generasi Kedua FELDA, yang mahu menandingi pengaruh ANAK.

Sementara itu ujar Mazlan, beliau mahu Ahmad menyahut cabarannya untuk berdebat demi membuktikan ketelusan dan kejujuran kerajaan dalam membela nasib peneroka.

Katanya, dalam soal kelangsungan hidup masyarakat FELDA, hanya menteri yang boleh memberi jaminan dalam hal itu.

"Saya hendak berdebat sebab saya mahu Datuk Ahmad Maslan bercakap di depan warga felda yang akan menonton debat itu secara langsung dan kita hendak jadikan hujah Datuk Ahmad Maslan sebagai hujah yang boleh dipegang oleh masyarakat dan warga felda.

"Dua kali saya sabar untuk berdebat dengan dia, kalau dia menolak, tidak ragu-ragu lagi bahawa dia seorang menteri penakut," selar Mazlan.

Kali pertama Mazlan mencabar Ahmad berdebat pada Jun tahun lalu berhubung kemerosotan rezab FELDA.

Dalam cabaran terbarunya, Mazlan memberi tempoh dua hari kepada Ahmad untuk memberikan jawapan.

Debat itu akan diadakan pada 28 Januari, dua hari sebelum pilihan raya kecil DUN Tenang.

Malah Mazlan berkata, beliau sanggup berdebat dengan Ahmad hatta di bangunan Umno sekalipun.

No comments: