Friday, January 21, 2011

Mail Bangsawan cabar Datuk Radzhi Sheikh Ahmad berdebat

Giliran Ismail cabar Radzhi berdebat

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgObZ-ckhMIYCUM2xDx9Cvv5uBdZfaYWdpzZfkieMtS0q-rGB8MWQ7LUduS4mLHgMHUXHF-nSHXm5G0PcnD8Mj3iDZ05Qn5GS3GTsPlNLvSGz_rZ3tb0bG6ZT_mWFltAgzyGG5p2TbuLhU/s400/mh_01_big.jpgKANGAR, 22 Jan. : Setelah bekas Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Hashim Suboh mengemukakan hasrat untuk berdebat secara terbuka dengan Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Radzhi Sheikh Ahmad, kini giliran Ketua Penerangan UMNO Arau, Ismail Hashim pula menyuarakan hasrat sama.

Ismail yang turut dikenali Mail Bangsawan berkata, tujuan cabaran debat itu dibuat demi mengupas punca sebenar masalah dan konflik dalaman yang berlaku dalam UMNO Perlis di samping mencari jalan penyelesaian untuk menyatukan kembali ahli UMNO negeri.

Bersandarkan jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Arau, Ismail menegaskan beliau layak untuk berdebat dengan Radzhi kerana pengalamannya dalam UMNO adalah lebih lama berbanding Radzhi yang sebelum ini menganggotai parti Semangat 46.

“Perdebatan ini penting untuk memberitahu rakyat siapa yang menjadi punca berlakunya kemelut politik dalam UMNO Perlis sehingga menyebabkan orang yang tidak sepatutnya dipersalahkan.

“Selain itu, konspirasi demi konspirasi yang didalangi oleh segelintir pemimpin politik negeri ini termasuk Radzhi dalam usaha untuk menjatuhkan Timbalan Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim perlu didedahkan kepada rakyat agar mereka tahu pihak mana yang telus,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini.

Ismail berkata, surat cabaran sudah dihantar kepada Radzhi melalui pos pada 18 Januari lalu dan salinannya kepada Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, Setiausaha Agung, ketua penerangan parti dan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Md Isa Sabu.

Menurutnya, mengikut perancangan, debat itu akan diadakan pada 3 Februari ini pada sebelah malam di tempat yang belum diputuskan lagi.

“Sekiranya Radzhi tidak berani hendak berdebat, beliau boleh menghantar wakil. Bagaimanapun, wakil itu perlulah sekurang-kurangnya ahli jawatankuasa (AJK) Perhubungan UMNO negeri yang boleh membuat keputusan untuk parti.

“Saya tidak beri tempoh spesifik kepadanya (Radzhi) untuk menyahut cabaran dan sekiranya beliau enggan memberikan jawapan, program debat itu tetap akan diteruskan,” katanya.

Ditanya sama ada tindakannya itu atas arahan individu tertentu, Ismail berkata ia dibuat atas kerelaannya sendiri di samping kesedaran untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti.

“Saya berharap Radzhi akan menerima cabaran debat ini demi menjamin kestabilan politik UMNO Perlis bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.SH

No comments: