Friday, January 21, 2011

Peluang PAS dan Umno sudah sama 50 : 50

Puluhan ribu penyokong Pakatan banjiri Labis

LABIS, 22 Jan: Berpuluh-puluh ribu penyokong Pakatan Rakyat terutama dari PAS membanjiri pekan Labis untuk mengiringi calon mereka, Cikgu Normala Sudirman ke pusat penamaan calon Pilihan raya Kecil Tenang.

Mereka berkumpul di sana sejak sebelum subuh bagi menyertai majlis solat hajat di tanah lapang yang disewa khas oleh PAS untuk digunakan sepanjang kempen pilihan raya ini.

Mereka dikatakan menerima arahan agar terus ke kawasan yang terletak di perkarangan markas besar PAS itu kerana beberapa masjid yang berdekatan dikatakan dikunci sejak malam tadi.

Perarakan calon bermula seawal jam 8.20 pagi menuju pusat penamaan calon yang terletak di Dewan Majlis Daerah Labis yang terletak kira-kira 2 km dari situ. Ketika itu, kira-kira 5,000 orang menyertainya.

Perarakan itu menjadi semakin besar apabila kumpulan kecil sepanjang jalan menyertai mereka.

Perarakan yang diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Nasharudin Mat Isa, naib-naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub turut disertai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Presiden PKR, Datuk Sri Dr Wan Azizah Ismail dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menunggu di tepi jalan menyertai perarakan itu kira-kira jam 8.50 pagi.


Presiden PAS : Peluang Menang PRK Tenang Tetap Ada



LABIS 22 Jan. : Pakatan Rakyat berpeluang merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang bermula hari ini dengan sasaran kini '50 : 50 ' namun ' tidak mustahil' untuk PR memenangi pilihanraya kecil itu,kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata peluang Pakatan Rakyat untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang untuk menang tetap ada mengambil kira faktor sebelum ini sudah ada dua kerusi dimenangi PAS dalam Pilihanraya Umum ke-12.

Menurut Abdul Hadi, Pakatan Rakyat yang meletakkan calon PAS Normala Sudirman mempunyai peluang cerah sekiranya maklumat dapat disampaikan dengan tepat kepada pengundi di DUN Tenang.

"Peluang kita (Pakatan Rakyat) 50 peratus, begitu juga Barisan Nasional (BN), tidak mudah untuk kita menang tapi ia tidak mustahil.

"Kita letak 50 peratus dulu tapi kempen kita bergerak bermula dari 40 peratus, di Johor kita sudah menang dua kerusi. Jadi peluang (menang) memang ada.

"Malah perubahan besar sudah berlaku di sini (Johor), BN juga hadapi masalah malah kedudukan Umno juga tidak kuat," kata beliau ketika ditemui di proses penamaan calon DUN Tenang di pejabat Majlis Daerah Labis di sini.

Pakatan Rakyat meletakkan Ketua Muslimat PAS Labis, Normala, bekas guru manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim, 39.

Tambah Abdul Hadi, pengundi muda di DUN Tenang merupakan penentu kemenangan Pakatan Rakyat di kawasan itu.

"Pengundi muda yang dapat menatap media baru, mereka boleh mendapatkan maklumat yang tepat. "Bagi saya pengundi muda adalah undi penentu, di sini BN tiada undi Orang Asli, malah undi warga Felda juga sudah memihak kepada kita.

"BN tiada undi deposit di sini, kita mempunyai peluang kerana meletakkan calon anak tempatan bukan BN yang meletakkan calon yang sudah lama meninggalkan kawasan," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus).

Mengikut pecahan umur, seramai 3,271 pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun, 3,602 (40-49 tahun), 2,788 (50-59 tahun), 1,897 (60-69 tahun), 1,188 (70-79 tahun), 268 (80-89 tahun) dan lebih 90 tahun pula 70 orang.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Umno-BN pada 17 Disember lepas.

No comments: