Thursday, January 20, 2011

Revolusi Tunisia, gerakan Islam dan harapan perubahan dunia Arab

http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/a/a1/LocationNorthernAfrica.png/350px-LocationNorthernAfrica.png

Artikel : Perubahan politik di Tunisia telah mencetuskan harapan ramai untuk melihat hal yang sama berlaku di negara-negara Arab lain.

Protes yang berlaku ekoran episod di Tunisia di negara-negara lain menambahkan lagi jangkaan untuk melihat pemimpin korup dan zalim di negara Arab lain dijatuhkan.

Selepas Tunisia, antara negara lain yang mempunyai potensi ialah Algeria dan Mesir, yang masing-masing telah menunjukkan perubahan sebenar berlaku – tetapi dihalang dengan kekerasan – dan potensi perubahan menolak rejim lama.

Satu pandangan yang optimis melihat perubahan bersandarkan kes Eropah Timur yang kerajaan-kerajaan Komunis rantau tersebut jatuh dalam masa yang singkat.

Hal tersebut berlaku demikian disebabkan faktor penting ideologi dan negara penaung yang sama iaitu Kesatuan Soviet, yang menjadi faktor utama berdirinya rejim Komunis tersebut.

Pada masa sama, penentang-penentang rejim Komunis turut menerima sokongan daripada kuasa Barat yang bersaing dengan Komunisme.

Di dunia Arab, perkara yang sama tidak kelihatan dan setiap rejim mempunyai ideologi dan pragmatisme tersendiri dalam menghadapi musuh-musuh politik.

Rejim-rejim lama terbabit, yang sudah masak dengan pelbagai cara menyekat dan memerangi penentangan juga boleh dijangka sudah melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk menghalang protes-protes dan pelbagai bentuk penentangan lain.

Rejim-rejim Arab juga masih mendapat sokongan kuat kuasa besar kerana kestabilan dan kepastian yang diberikan sejak sekian lama.

Mereka masih boleh diharapkan untuk mewakili kepentingan Barat dalam banyak hal, seperti usaha memerangi teroris dan militan yang sedang menjadi tumpuan pada masa ini.

Malah, satu pemerhatian awal di media utama Amerika Syarikat behubung “Revolusi Jasmin” turut menyebut “peluang dan risiko” perubahan itu kepada AS.

Kumpulan-kumpulan berhaluan kanan di negara itu juga telah mula memberi amaran supaya gerakan Islam tidak dibenarkan mengambil kesempatan daripada perkembangan itu.

Di Mesir misalnya, Presiden Hosni Mubarak yang kembali kelihatan sihat kebelakangan ini menjadi sandaran pihak Barat untuk menjaga kepentingan mereka.

Tunisia di bawah pimpinan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali juga mendapat sokongan kuat Barat selama ini, hakikat yang sebahagiannya dijelaskan oleh pemerintahannya yang mencapai 23 tahun.

Kedua-dua pemimpin republik Arab-Afrika tersebut mempunyai satu persamaan dalam menyekat dan menekan gerakan Islam di negara mereka.

Ikhwan al-Muslimin dan gerakan al-Nahdah di Mesir dan Tunisia menjadi musuh politik utama rejim-rejim pemerintah negara masing-masing.

Mesir yang sering menjadi perhatian dalam berita telah menunjukkan bagaimana pelbagai langkah sekatan dikenakan oleh pemerintah terhadap gerakan Islam dan kumpulan-kumpulan pembangkang lain.

Tunisia turut menyaksikan hal yang sama, dengan gerakan Islam ditekan hingga mendorong pemimpinnya meninggalkan negara dan tinggal di Eropah.

Gerakan Islam menjadi musuh kuat rejim lama Tunisia (walaupun perubahan sikap dalam hal ini belum boleh dipastikan dalam kerajaan baharu negara itu) sehingga ada pemerhati berpendapat perubahan di negara Afrika Utara itu boleh berlaku kerana gerakan Islam tidak terlibat.

Penglibatan gerakan Islam yang menjadi musuh utama rejim Ben Ali didakwa akan mengundang respons keras rejim sehingga berupaya menggagalkan sebarang usaha penentangan.

Perubahan politik yang mendadak sentiasa membuka ruang ketidakpastian dan sering perubahan yang berlaku sukar diuruskan sehingga berpotensi mendatangkan kesan berpanjangan.

Potensi ini menjadikan perubahan yang tidak dirancang tidak dikehendaki oleh negara-negara kuasa besar yang menyokong rejim terbabit.

Ketidakpastian dan potensi gerakan Islam mendapat tempat dalam politik baharu negara terbabit menjadikan rejim-rejim lama terus mendapat sokongan.

Malah, seperti disaksikan di Algeria, kuasa Barat boleh menutup mata terhadap pelbagai pencabulan dan jenayah dilakukan untuk menghalang perubahan berlaku.

Perubahan yang berlaku di Tunisia juga masih kelihatan belum selesai walaupun kerajaan baharu telah menunjukkan usaha memisahkan diri daripada rejim lama.

Perdana menteri Mohammed Ghannouchi dan Fouad Mebazaa, speaker dewan rendah dan presiden sementara telah meninggalkan parti Ben Ali untuk memisahkan diri dan membina kredibiliti kerajaan perpaduan yang baharu ditubuhkan.

Orang ramai juga terdedah kepada kecenderungan melihat simbol-simbol perubahan dan dialihkan tumpuan daripada melihat keperluan perubahan yang lebih bermakna dan mendalam.

Parti Islam masih belum dapat dilihat penglibatan mereka dalam Tunisia baharu yang sedang dibentuk ini, walaupun selama ini menjadi mangsa utama rejim Ben Ali.

Dalam laporan-laporan media Barat tentang Tunisia, penglibatan al-Nahdah dalam politik masih disertai dengan kebimbangan terhadap “politik Islam” di Tunisia, yang terdedah kepada persepsi dikaitkan dengan terorisme dan unsur negatif lain.

Penglibatan al-Nahdah dalam politik negara itu disebut sebagai mencetuskan kebimbangan terhadap pelaksanaan Islam yang didakwa menyekat kebebasan.

Barat masih melihat parti politik Islam sebagai bertentangan dengan demokrasi dan nilai-nilai yang mereka terima.

Kepulangan tokoh al-Nahdah Rachid Ghannouchi dilihat dengan kebimbangan oleh banyak pihak di Barat.

Persepsi ini berupaya untuk memberi kesan kepada rakyat dan kerajaan baharu Tunisia, lebih-lebih lagi melibatkan reaksi negara asing dan kuasa besar.

Perubahan di Tunisia itu tetap tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perkembangan di dunia Arab dan seluruh dunia, ketika kesedaran terhadap penglibatan dalam proses demokrasi semakin menjadi tuntutan.

Istilah Revolusi Jasmin yang digunakan memberi petanda kebangkitan seterusnya di negara lain masih boleh berlaku, tetapi tidak mudah untuk melihatnya berlaku, terutama dalam tempoh yang singkat.

Revolusi warna dan simbol (Ros, Jingga, Tulip) menjadi satu topik khusus dalam politik global hari ini dan memberikan harapan kepada orang ramai.

Seperti yang boleh diperhatikan melalui revolusi seperti itu di Asia Tengah, keputusannya masih bercampur-campur, dengan tidak ada petunjuk jelas perubahan yang bermakna.

Walau bagaimanapun, Revolusi Jasmin di Tunisia telah sekurang-kurangnya mencetuskan harapan dan inspirasi di seluruh dunia Arab. Lembaran baharu ini masih mempunyai potensi untuk rakyat rantau itu tidak melihat perubahan sebagai sesuatu yang mustahil.

No comments: