Thursday, February 24, 2011

PKR dan DAP tekad bantu PAS hadapi Umno BN

Prk Kerdau : PKR, DAP jamin beri komitmen penuh

TEMERLOH, 25 Feb: PKR dan DAP menyatakan sokongan penuh kepada calon taruhan PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Kerdau, Hassanuddin Salim yang diumum malam tadi.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang turut berucap pada majlis pengisytiharan calon di Kompleks PAS Kerdau memberi jaminan, jentera dari parti itu akan turun berkampung di sini bagi membantu memenangkan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

"Saya bagi pihak PKR memberi jaminan dan janji kami kepada PAS.

"Insya Allah seluruh jentera parti keadilan rakyat akan berkampung dalam Dun Kerdau ini," katanya.

Selain Azmin, pimpinan PKR lain yang hadir termasuklah Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh dan bekas timbalan presiden, Senator Dr Syed Husin Ali.

"Tidak ada sebab Kerdau tidak boleh bertukar tangan dari Umno kepada Pakatan Rakyat.

"Saya percaya pengundi Kerdau juga sudah bersedia untuk membawa perubahan," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Manakala wakil DAP pula diwakili Timbalan Pengerusi Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw.

Bagaimanapun, beliau tidak sempat berucap malam tadi ekoran hujan lebat dan memberikan laluan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengumumkan calon.

Calon PAS, Hassanuddin yang dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh pernah bertanding di Dun Kerdau pada pilihan raya umum lalu.
Beliau adalah Ketua Penerangan PAS Pahang yang berkelulusan Diploma Ukur dari UiTM, Shah Alam mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.

Hassanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

Beliau yang mempunyai pengalaman dalam industri dan ukur selama 15 tahun juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

Manakala di satu lagi majlis sama di Melaka, PAS mengumumkan Yuhaizad Abdullah, 38, sebagai calon pada PRK Dun Merlimau yang mewakili Pakatan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon dan 6 Mac sebagai hari pembuangan undi bagi kedua-dua PRK tersebut.

No comments: