Thursday, February 24, 2011

Seorang Exco Perak disiasat SPRM

SPRM siasat Exco Perak?

IPOH, 24 Feb: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak didakwa sedang menyiasat salah seorang Exco kerajaan negeri itu atas dakwaan rasuah.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Perak meminta Menteri Besar, Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir mengesah dan menjelaskan dakwaan tersebut.

Menurut Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Munir Ali, exco terbabit adalah orang lama dalam Umno.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) telah diberikan maklumat bahawa salah seorang Exco Kerajaan Negeri Perak pimpinan Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak baru-baru ini," kata Mohd Munir dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

"Kami juga difahamkan bahawa Exco yang terbabit dalam siasatan SPRM tersebut merupakan ‘orang lama’ yang penting di dalam barisan kepimpinan Datuk Seri Zambry," katanya dalam kenyataan itu.


Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS Perak mendesak Datuk Seri Zambry untuk mengesah dan menjelaskan isu tersebut bagi memberikan gambaran sebenar kepada rakyat.

"Pemuda PAS Perak juga meminta, jika maklumat yang diberikan tersebut benar, Exco terbabit wajar direhatkan dari menjalankan tugas rasmi bagi melincinkan siasatan SPRM," katanya.

Isytihar harta

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) juga mendesak Kerajaan Negeri Perak mengikut jejak langkah kerajaan negeri Selangor agar meminta semua Exco Kerajaan Negeri mengisytiharkan harta mereka dan dipamerkan di dalam laman web kerajaan negeri.

Perkara tersebut bagi membuktikan bahawa semua Exco kerajaan negeri bersih daripada amalan rasuah dan perkara tersebut adalah penting untuk menilai mana-mana pihak agar menunjukkan latar belakang yang bersih.


"Pemuda PAS Perak menunggu respon Datuk Seri Zambry bagi membuktikan perkara tersebut, jika Datuk Seri Zambry gagal mengisytiharkannya sepertimana langkah Kerajaan Negeri Selangor, akan menunjukan persepsi bahawa mereka tidak bersih sepertimana yang didakwa," kata Naib Ketuanya, Salman Haji Saleh.

Pemuda PAS Perak, katanya, yakin semua pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bersedia bagi membuktikan dengan cara mengisytiharkan harta mereka pada bila-bila masa.


Pemuda PAS juga yakin Umno/Barisan Nasional (BN) akan terus memberikan pelbagai alasan bagi melaksanakan perkara tersebut, katanya.

No comments: