Thursday, July 28, 2011

Pemimpin BERSIH dan PR tak gusar didakwa terbabit Himpunan BERSIH 2.0



SHAH ALAM 28 JULAI : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) N. Surendran berkata, gagasan itu tidak gusar akan kemungkinan beberapa pimpinan pembangkang bakal didakwa kerana terbabit dalam himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.

Surendran ketika dihubungi TV Selangor hari ini menyatakan betapa institusi dan pihak berkuasa negara perlu kembali neutral dan profesional dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

"Jika ada sebarang tindakan pendakwaan dibawa, kita sedia hadapinya kerana kita tahu kita tak melakukan kesalahan kecuali memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat.

"Kita tahu Peguam Negara berpihak kepada kerajaan.. jadi kita tak harap apa-apa yang baik dari kerajaan, kecuali kita sekali lagi menyeru supaya Institusi seperti polis dan Peguam Negara kembali neutral," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ketua pendakwaraya di pejabat Kuala Lumpur, Raja Rozela Raja Toran di Malaysiakini hari ini bahawa Pejabat Peguam Negara mengesahkan telah menerima kertas siasatan daripada polis ke atas bebeberapa pemimpin pembangkang dan Bersih 2.0 berhubung pembabitan mereka pada perhimpunan 9 Julai lalu.

Menurut Rozela, senarai nama itu termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli parlimen Batu Tian Chua dan juga pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Pada perhimpunan 9 Julai itu, tidak kurang 1,600 ditangkap. Mereka kemudiannya dilepaskan selepas kenyataan mereka dirakamkan.

Seorang peserta Baharuddin Ahmad meninggal dunia manakala puluhan lain termasuk Anwar, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu cedera.

Surendren turut menuntut agar siasatan dan dakwaan patut dilakukan terhadap mereka yang memberi arahan kepada polis untuk bertindak ganas dalam mengekang himpunan yang disertai puluhan ribu rakyat itu seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

"Kita dah kata dari awal bahawa perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu ialah himpunan aman yang menurut fasal 10 Perlembagaan Persekutuan. Dan mereka yang bertindak ganas pada hari tersebut ialah Polis di bawah arahan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

"Kita meminta supaya mereka-mereka di KDN dan pihak atasan Polis yang bertanggungjawab terhadap keganasan Polis didakwa," kata beliau.

No comments: