Thursday, July 28, 2011

MCA dan PERKASA ada kerjasama


PETALING JAYA 29 JULAI: DAP hari ini menggesa MCA menjelaskan pendirian mereka berhubung kerjasama parti itu dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Ini berikutan protes anjuran MCA minggu lalu bersabit cadangan kerajaan Selangor membina penempatan pekerja asing di Petaling Jaya turut disertai bekas Ketua Pemuda Perkasa, Arman Azhar Abu Hanifah.

Bercakap pada sidang media hari ini, Sekretari DAP Selangor, Lau Weng San menyifatkan MCA Selangor seolah-olah hilang arah untuk membangkitkan isu bagi menentang kerajaan negeri.

Malah parti itu terpaksa menjemput sebuah organisasi ekstrimis Melayu yang sering dikritik sebelum ini untuk menghamburkan kata-kata kesat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Mereka perlu menilai semula apa yang mereka lakukan. Dalam demostrasi seperti ini mereka menjemput orang daripada pertubuhan yang mereka sendiri mengkritik. Jadi wujud percanggahan dalam pendirian mereka," kata beliau.

Lau sebelum itu menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh Ketua Biro Aduan MCA Selangor, Theng Book berhubung rancangan penempatan semula warga asing di Sungai Way yang disifatkan mampu menjejaskan perniagaan rakyat tempatan di kawasan itu.

Ini kerana penduduk tempatan yang menjalankan perniagaan di kawasan itu bergantung sepenuhnya kepada kuasa membeli oleh warga asing yang dianggarkan berjumlah hampir sepuluh ribu orang.

Beliau berkata projek tersebut kini hanya di peringkat cadangan dan belum dibentangkan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Saya tidak faham mengapa MCA Selangor cuba menjadikan ianya isu. Mungkin mereka cuba mendapatkan sokongan politik," kata beliau.

Lau menjelaskan cadangan tersebut amat praktikal dari aspek pelaburan antarabangsa yang memerlukan tenaga kerja secukupnya bagi menjalankan aktiviti pengilangan seharian di kawasan Petaling Jaya.

Oleh yang demikian katanya, penempatan semula bagi pekerja asing mampu meningkatkan efisien dan menambahbaik produktiviti kilang dan pembinaan.

Justeru beliau menyifatkan cadangan tersebut adalah relevan disamping mampu menyelesaikan masalah penempatan haram, insfrastruktur, sampah dan lalu lintas khususnya di Sungai Way.

Lau mengambil contoh aplikasi yang sama pada cadangan pembinaan hostel di Wilayah Pembangunan Iskandar oleh Barisan Nasional (BN) yang akan menempatkan lebih daripada 200 ribu pekerja asing.

Sehubungan dengan itu Lau menggesa agar MCA mendapatkan maklumat daripada kerajaan negeri Selangor sebelum melemparkan sebarang tuduhan.

No comments: