Saturday, August 6, 2011

Gambar ini jadikan UMNO Kedah makin meroyan


Kunci untuk mengekalkan kemenangan Pakatan Rakyat di Kedah bergantung kepada undi kaum bukan Melayu yang memerlukan kerjasama erat PAS, DAP dan PKR.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata UMNO dan Barisan Nasional yang menyedari keadaan itu telah cuba sedaya-upaya untuk memecahbelahkan perpaduan erat antara pemimpin dan ahli komponen Pakatan.

“Kunci BN ialah memisahkan DAP dan PAS. Kalau DAP-PAS berpisah, agak susah untuk Pakatan memenangi pilihan raya umum akan datang di sini.

“DAP mempunyai pengundi dari kalangan kaum Cina yang ramai, begitu juga Dewan Himpunan Penyokong PAS juga mempunyai jumlah ahli bukan Islam yang ramai. Kita perlu kekalkan hubungan erat ini,” katanya kepada Roketkini.

PAS menang 16 kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah dalam pilihan raya 2008, dan dengan kemenangan 5 kerusi DUN oleh PKR dan satu DAP, Pakatan membentuk kerajaan negeri di Kedah. BN mendapat 14 kerusi DUN kebanyakannya melalui UMNO.

PAS Kedah juga menyedari kerusi-kerusi DUN Pakatan dimenangi di kawasan 60:40, iaitu 60 peratus Melayu, dan bukannya di kerusi yang mempunyai lebih 80 peratus pengundi Melayunya.

Phahrolrazi berkata perkembangan terbaru, termasuk perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu telah menampakkan sokongan rakyat Kedah yang melonjak dengan drastik terhadap kerajaan negeri.

Jelas beliau lagi, PAS bersama DAP sudah ada persefahaman yang kuat untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

“Pandangan bukan Melayu terhadap PAS juga sudah berubah, dulu mereka tengok PAS ini parti Islam yang kononnya tak boleh itu, tak boleh buat ini…tetapi sekarang persepsi itu sudah berubah,” katanya.

Berhubung soal perumahan, Phahrolrazi yang juga Exco Kanan Kedah berkata, kerajaan Pakatan Kedah mengamalkan sistem negara berkebajikan, iaitu yang memberikan manfaat kepada rakyat, bukan mengikut kehendak pemaju perumahan.

“Inilah antara masalah kita dengan pemaju. Mereka tidak kisah jika 100 peratus kawasan itu dipenuhi dengan hanya sesuatu kaum sahaja.

“Kita tidak mahu keadaan begitu. Kita mahu generasi akan datang dapat bercampur gaul dan tidak ada lagi perkauman tebal, seperti yang diamalkan BN dahulu. Kita juga mahu anak cucu kita naik bas ke sekolah bersama, berriadah bersama dalam suasana yang harmoni, bukan dipencilkan,” katanya.

Phahrolrazi juga berkata, kerajaan Pakatan Kedah menolak konsep pecah perintah peninggalan penjajah British yang disambung oleh UMNO-BN.

“Kita tidak mahu amal sistem pecah perintah, kita tidak mahu sebuah kawasan perumahan itu dipenuhi kaum Cina sahaja, kaum India sahaja, kaum Melayu sahaja.

“Itu bukan pattern yang bagus, kita tidak mahu isolate rakyat mengikut kaum. Ini bukan untuk kita, tetapi untuk untuk generasi akan datang, masa depan kita sebagai Malaysia yang benar-benar makmur dan harmoni dalam erti kata yang sebenar,” katanya

No comments: