Saturday, August 6, 2011

Pemuda PAS yakin kes pelajar Mesir dipecat akan selesai



KUALA LUMPUR 7 OGOS : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yakin dapat menyelesaikan kes mahasiswa Malaysia di Mesir yang dibuang universiti kerana menganjurkan himpunan Bersih 2.0 di sana.

Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) DPPM, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, pertemuan dengan pihak kedutaan Malaysia di Mesir menampakkan kejayaan awal.

2 Ogos lalu, beliau bersama ketua DPPM, Nasrudin Hassan Tantawi ke Mesir untuk bertemu dengan Duta Malaysia di Mesir, Profesor Madya Dr Fakhruddin Abdul Mukhti dan pegawai pendidikan Malaysia di sana bagi membincangkan kes tersebut.

"Hasil pertemuan kita berjaya menyelesaikan banyak perkara dan pihak kedutaan sendiri berjanji akan menyelesaikan kes ini dengan pihak universiti Al-Azhar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut.

Selain Firdaus, kira-kira 40 pelajar universiti tersebut turut diambil tindakan ditarik biasiswa kerana terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0.

Ujar Zamri, beliau kesal dengan tindakan pihak terbabit kerana jelas dan seperti yang diketahui umum, perhimpunan Bersih 2.0 adalah 'halal' di luar negara.

Katanya, ini kerana mereka hanya berhimpun secara aman secara aman kira-kira 15 minit dengan mengutip tandatangan pelajar menyokong lapan tuntutan Bersih 2.0.

"Firdaus dibuang dari universiti tanpa notis dan hanya mengetahui dia dibuang apabila tidak dibenarkan mengambil peperiksaan akhir.

Tambahnya DPPM tidak menolak kemungkinan tindakan ini dilakukan pihak universiti kerana dipengaruhi pihak yang pro Umno BN di sana.

"Ini sangat tidak wajar kerana pelajar di sana tidak terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), tetapi tiba-tida dibuang hanya kerana menganjurkan himpunan.

"Kita syak ada unsur hasutan pihak yang diarahkan kerajaan Malaysia untuk memantau tindak tanduk pelajar di sana," katanya.

Jelasnya lagi, pihak kedutaan mencadangkan kesemua pelajar tersebut membuat surat rayuan kepada pihak unversiti dan kedutaan akan mengambil tindakan lanjut.

"Mereka berjanji akan cuba menyelesaikan perkara ini dalam masa dua minggu," katanya.

Selain itu beliau turut memberitahu, DPPM akan mencadangkan kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRM) agar menubuhkan Lajnah Guaman bagi menyeleaikan masalah pelajar Malaysia yang melibatkan undang-undang.

"Juham akan bantu lajnah ini dalam menyelesaikan kes-kes perundangan contohnya seperti kes inilah," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah timbalan ketua DPPM, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan setiausaha Khairul Faizi Ahmad Kamil.

No comments: