Saturday, August 6, 2011

Pagar tinggi Pasar Parit Buntar tidak disenangi

PARIT BUNTAR, 6 Ogos : Tindakan Majlis Daerah Kerian (MDK) menaikkan pagar di kawasan Pasar Pusat Bandar Parit Buntar mendapat keluhan dan rasa kurang puas hati di kalangan peniaga di sini.

Ketua Penerangan Pas Kawasan Parit Buntar, Fakrurrazi Khalid (gambar) berkata, tindakan berkenaan tidak memberi sebarang faedah kepada peniaga dan rakyat serta yang menyedihkan pembinaan tersebut adalah satu pembaziran.

Menurutnya, terdapat banyak rungutan dari peniaga dalam pasar dan juga peniaga di kaki lima pasar berkenaan berkaitan tindakan MDK ini.

“Ada peniaga yang mendakwa susah untuk membawa masuk barang keperluan kerana hanya dibuka satu pintu laluan sahaja.

“Sekiranya sebelum ini meja dan payung dapat dibawa masuk dengan mudah tetapi situasi yang sungguh berbeza kini kerana barangan berkenaan terpaksa dipunggah di luar pasar ini,” katanya.

Fakrurrazi berkata, pihaknya mempertikaikan relevannya pagar dibina di kawasan pasar berkenaan dan merasakan MDK mengeluarkan perbelanjaan yang besar kerana pagar ini bukan sahaja dibina di hadapan pasar malahan di sepanjang jalan utama di hadapan stesen bas.

“Kami mahu tahu berapa jumlah peruntukan yang dikeluarkan dan kepada syarikat mana projek itu diberi untuk dilaksanakan.

“Jangan bazirkan wang kami dan bila MDK kekeringan peruntukan maka cukai pintu pula dinaikkan dan yang menjadi mangsa ialah rakyat yang didahulukan,” katanya.

Katanya, seharusnya MDK membuat perancangan yang teliti supaya setiap projek yang dilaksanakan akan memberi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat setempat.

“Sebagai contoh MDK perlu mencari jalan penyelesaian bagaimana hendak menghadapi banjir yang selalu menenggelamkan Pusat Bandar Parit Buntar dan taman-taman yang berhampiran terutamanya Taman Semarak dan Taman Seri Wangsa.

“Begitu juga dalam soal masalah longkang di hadapan pasar raya Billion yang baunya cukup meloyakan,” katanya.SH

No comments: