Saturday, August 6, 2011

Guna sahaja dakwat kekal, batalkan biometrik

PETALING JAYA, 6 Ogos: Pakatan Rakyat hari ini mendesak kerajaan membatalkan sahaja hasrat menggunakan sistem biometrik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang kerana dilihat banyak mengundang masalah berbanding manfaat yang diperoleh.

Bercakap pada sidang media di pejabat pakatan rakyat hari ini, ahli parlimen Pakatan Rakyat berkata sejak sistem itu digunakan untuk program pemutihan pendatang asing tanpa izin, pelbagai laporan tentang kepincangan sistem itu dikemukakan.

Bukan itu sahaja, beberapa pendedahan terbaru juga jelas mereka menunjukkan sistem itu tidak mampu menyelesaikan masalah yang dibangkitkan berhubung undian berganda pada pilihan raya.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, sewajarnya kerajaan kembali semula kepada tuntutan Bersih iaitu menggunakan dakwat kekal yang setakat ini diyakini penyelesaian terbaik untuk mengatasi pengundian berganda.

"Sementara tidak ada teknologi canggih selesaikan masalah ini, maka kembalilah kepada tuntutan Bersih untuk guna dakwat kekal.

"Kita dah buat eksperimen di Pulau Ketam untuk pilih ketua kampung. Pegawai Daerah guna inai sahaja. Semua berjalan lancar dan tiada sebarang kekeliruan berlaku," katanya.

Turut serta pada sidang media itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkefly Ahmad, Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Liew Chin Tong (Bukit Bendera).

Selain itu, turut dipersoalkan kos yang terlalu tinggi dibelanjakan untuk sistem biometrik yang manfaatnya masih 'meragukan' itu.

"Kita nak tahu siapa dapat projek pemutihan warga asing tanpa izin ini.

"Kita harap kerajaan telus dalam hal ini," kata Tian lagi.

Mengulas lanjut isu pengundian berganda, Tian berkata sistem biometrik hanya boleh mengesahkan pengundi itu mempunyai kad pengenalan sah namun tidak mampu mengesan mereka yang mempunyai lebih dari satu kad pengenalan.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan seharusnya bersedia sepenuhnya terlebih dahulu dan tidak "over confident" dengan sistem baru yang mahu digunakan.

Ia bukan sahaja mengundang keraguan, malah turut membazirkan wang rakyat.

Maka ujarnya, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menggunakan dakwat kekal sahaja seperti yang dituntut rakyat.

Sementara itu Liew Chin Tong turut mengingatkan Datuk Seri Najib bahawa perdana menteri itu masih ada tiga hari lagi untuk memanggil sidang tergempar parlimen dari tempoh seminggu yang diberikan pakatan rakyat.

Sidang itu khas bagi membincangkan pendedahan banyak pihak berhubung isu pertukaran status penduduk tetap PR kepada warganegara dalam masa beberapa jam sahaja dan didaftar sebagai pengundi.

No comments: