Wednesday, May 16, 2012

TAHNIAH!!! Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai: Pecah Tanah 28 Mei


Selepas disisih sejak Rancangan Malaysia (RMK) Ke-5, akhirnya kerajaan Kelantan memutuskan untuk membina sendiri lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai membabitkan kos awal sebanyak RM500 juta.

Dan pada 28 Mei ini akan mencatat satu sejarah baru negara apabila majlis pecah tanah pembinaan lebuhraya tersebut akan diadakan berhampiran Felcra Berangan Mek Nab, Machang.


Jajaran lebuhraya pertama di Kelantan itu akan melalui Hutan Lipur Bukit Bakau.


Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, projek fasa pertama sepanjang 33 kilometer daripada jarak keseluruhan 73 kilometer tersebut dikendalikan Menta Construction Sdn Bhd dan Konsortium Temokin Vila Jelas JV Sdn Bhd.


Katanya, projek berkenaan akan dimulakan di seksyen III dari Bukit Tiu, Machang sehingga ke Dusun Damar, Kuala Krai merupakan tanah milik kerajaan negeri.


(Gambar: Husam menunjukkan jajaran Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai.)


“Projek itu dimulakan di seksyen III sebagai langkah untuk menjimatkan masa kerana ia tidak perlu melakukan pengambilan balik tanah rakyat.


“Manakala jajaran bertingkat dari Wakaf Che Yeh ke Kota Bharu ditangguhkan sementara bagi menjimatkan kos,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.


Selain itu katanya, kos pembinaan dapat dikurangkan dengan memperkenalkan pendekatan gotong royong, di mana orang ramai yang berminat boleh menderma iaitu batu kuari, pasir dan sebagainya.


Kata Husam konsep gotong royong diperkenalkan bukan bererti kerajaan negeri tidak berkemampuan, sebaliknya bagi menanam semangat kerjasama di kalangan rakyat.


“Syarikat yang terbabit dengan aktiviti kuari di sepanjang lebuh raya akan juga memperolehi manfaat,” ujarnya.


Beliau berkata, sebelum ini orang ramai hanya terdedah menderma untuk pembinaan masjid dan madrasah sahaja, manakala derma bagi pembinaan jalan raya masih agak asing.



Beliau juga berharap syarikat yang terbabit dengan industri minyak di Kelantan juga dialu-alukan untuk menyumbang.

Katanya, projek lebuh raya berkenaan dijangka siap dalam tempoh lebih dua tahun selepas mengambil kira musim tengkujuh.


“Kerajaan negeri berhasrat menjemput bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi hadir pada majlis pecah tanah kerana beliau pernah menyenaraikan projek pembinaan lebuh raya itu dalam RMK-9,” ujarnya.


Husam juga memberitahu lebuh raya tersebut akan mempunyai laluan khas untuk binatang liar di sepanjang laluannya.


“Kerajaan negeri mengutamakan konsep mesra alam dan mengambil kira keperluan makhluk lain,” tambahnya.


Katanya juga apabila ia siap sepenuhnya, Kelantan menjadi negeri pertama membina sendiri lebuh raya sendiri dengan kos yang lebih menjimatkan.

1 comment:

Anonymous said...

Kami penyokong tegar pakatan rakyat mengucap tahniah atas kejayaan ini. Tapi tolong la bagi nombor akuan bank untuk kami mudah menyumbang.