Wednesday, November 3, 2010

Anuar Musa lebihkan Umno daripada Sultan












GUA MUSANG, 3 Nov: Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dianggap tidak mengutamakan Sultan Kelantan kerana cuba mempolitikkan Piala Malaysia ketika kempen pilihan raya kecil Dun Galas sekarang.

Sepatutnya, kalau Annuar Musa menghormati Sultan Kelantan, piala itu dipersembahkan kepada baginda dahulu sebelum diarak kepada rakyat Kelantan.

Ini dibuktikan apabila piala berprestij itu dibawa ke Galas Isnin lalu pada satu majlis kempen Umno yang diadakan di Dataran Kesedar.

Malah hadir sama di majlis berkenaan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan calon BN, Abdul Aziz Yusoff.

Ketua Umno Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan Mustafa kelihatan memakai topi berlambang dacing.

Mengulas isu tersebut Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, sebelum ini Presiden Kafa dikatakan berjanji tidak mahu mempolitikkan perarakan Piala Malaysia.

“Namun apa yang berlaku kelmarin jelas bercanggah dengan jaminan awal diberi pengurusan Kafa,” ujarnya.

Baginya, tindakan itu merupakan satu perbuatan mengetepikan Sultan Kelantan kerana Piala Malaysia tidak sepatutnya dibawa ke medan politik, lebih-lebih lagi suasana kempen di Galas sekarang.

“Nampaknya Piala Malaysia diraikan oleh pemimpin Umno terlebih dahulu dan bukannya Sultan Kelantan,” katanya di sini.

Mengenai kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara daripada dunia politik Dr Fadzli berkata, mungkin kenyataan Dr Asri diputar belit untuk kepentingan BN.

Katanya, ia telah memberi modal percuma kepada BN untuk menyerang Anwar.

“Jika Dr Asri benar-benar tidak mahu menunjukkan kecederungan berpolitik dan bersikap neutral beliau sepatutnya lebih berhati-hati memilih masa untuk membuat kenyataan yang menyentuh isu politik atau batang tubuh orang politik biar pun seperti berniat ikhlas.

“Kita sedang bertarung di Galas dan Batu Sapi. Umno tersempit. Peranan Anwar sangat besar dalam membantu PAS di sini,” katanya yang juga anggota Exco kerajaan negeri.

Kata beliau, Dr Asri sepatutnya sudah faham permainan politik sekular Umno yang akan memanipulasi di atas apa sahaja yang boleh menguntungkan mereka tanpa mengira dosa dan pahala.

Beliau berkata, Anwar masih lagi relevan dalam politik Malaysia kerana pengalaman yang ada pada beliau amat berguna dalam membentuk politik baru Malaysia.hrkh

No comments: