Wednesday, November 3, 2010

Laporan kajian PAS kalah , positif bagi PAS






















KUALA LUMPUR, 3 Nov:
Laporan kajian lapangan yang dibuat oleh sebuah firma penyelidikan lapangan bebas, Ilham Centre tidak seharusnya dipandang negatif oleh para pemimpin dan ahli-ahli PAS, sebaliknya ia merupakan satu petunjuk yang baik bagi PAS untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, esok.

Oleh itu, para pemimpin dan ahli-ahli PAS tidak seharusnya menjadi lemah semangat dengan laporan itu, sebaliknya ia perlu dijadikan sebagai satu petunjuk bagi mempertingkatkan lagi gerak kerja dengan kemas dan tersusun bagi memenangi hati para pengundi di seluruh kawasan itu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa ketika mengingatkan perkara itu berkata, dalam menghadapi pilihan raya, laporan seperti itu amat diperlukan bagi PAS supaya semua pihak tidak leka dan tertipu dengan perkembangan semasa.

“Walaupun kita juga turut menjalankan kajian tersendiri dan turut memiliki angka kita sendiri, tetapi angka yang didedahkan oleh Ilham Centre itu merupakan sesuatu yang baik untuk petunjuk gerak kerja kita, lebih-lebih lagi pada saat-saat akhir kempen pilihan raya.

“Angka itu jelas menunjukkan kita berada di pihak yang kalah. Jadi dengan itu, semua pihak mestilah mempertingkat usaha untuk mencapai kemenangan terutama bagi menawan hati para pengundi muda dan para pengundi yang berada di luar kawasan,” tegasnya ketika dihubungi pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan kajian lapangan yang dijalankan oleh Ilham Centre yang membayangkan Umno
mendahului PAS sebagai parti yang akan memenangi PRK Dun Galas, esok.

Kajian firma itu yang dilakukan dari 29 hingga 31 Oktober lalu mengatakan BN mendahului PAS dalam PRK Galas dengan 22 peratus berbanding PAS 15.6 peratus. Manakala 54.1 peratus tidak membuat kenyataan pasti.

PRK Dun Galas yang akan diadakan esok, 4 November menyaksikan pertandingan dua penjuru antara PAS dan Barisan Nasional (BN). PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mengemukakan calonnya, Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamed, manakala BN mempertaruhkan setiausaha Umno Bahagian, Abdul Aziz Yusuff.

Mujahid (gambar) yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menegaskan, hasil kajian yang dijalankan oleh pihak PAS menjelang hari pengundian esok, 49 peratus daripada jumlah pengundi di kawasan itu masih lagi belum membuat penentuan masing-masing terhadap parti pilihan mereka.

Mereka yang terbabit itu kebanyakannya adalah dari kalangan pengundi-pengundi luar yang meliputi para pengundi yang tinggal di luar DUN Galas, luar Parlimen Gua Musang dan di luar negeri Kelantan yang kesemuanya berjumlah 1,557 orang.

“Kebanyakan daripada mereka adalah pengundi-pengundi muda dan sebahagian besarnya berada di Kuala Lumpur. Sejauh yang dikesan kebanyakan daripada mereka belum lagi membuat penentuan terhadap parti-parti yang bertanding. Tetapi dari perhubungan yang kami lakukan dengan mereka menunjukkan positif kepada PAS.

“Namun ia belum menjamin kemenangan kepada PAS. Mereka mungkin akan membuat penentuan di saat-saat akhir pengundian esok dengan berdasarkan beberapa faktor termasuk gerak kerja yang dilakukan oleh para petugas, pengaruh dari pondok panas dan perbandingan ketokohan calon.

“Semua faktor itu perlu diambil kira oleh para petugas PAS atau Pakatan Rakyat dengan menatur gerak kerja yang lebih kemas dan terancang bagi memastikan kemenangan calon kita,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar para majikan dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan baik, dengan memberikan peluang atau kebenaran kepada para pengundi terbabit bercuti untuk membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di DUN Galas, esok.

“Kepada para pengundi yang berada di luar DUN Galas tetapi tinggal di negeri Kelantan, kita tak bimbang kerana di negeri Kelantan cuti esok, tetapi di luar Kelantan sebaliknya.

“Jadi kepada para majikan di luar negeri Kelantan yang mempunyai pekerja yang menjadi pengundi di DUN Galas, kita amat berharap agar mereka faham perkara itu dengan memberikan kebenaran kepada pekerja-pekerja mereka yang terbabit itu bercuti esok untuk membolehkan mereka pulang ke Galas bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi,” ujar beliau.hrkh

No comments: