Wednesday, November 3, 2010

DAP Perak akan buat pemilihan Jawatankuasa baru


IPOH, 3 Nov. : DAP Perak akan menjalankan pemilihan untuk melantik ahli jawatankuasa tertinggi baru parti itu pada Konvensyen Biasa DAP Perak Ke-15 yang akan diadakan di Hotel Tower Regency pada 14 November ini.

Setiausaha Publisiti DAP, Wong Kah Woh berkata, dijangka seramai 1,300 delegasi dan pemerhati akan menghadiri konvensyen berkenaan.


Menurutnya, sehingga semalam, DAP Perak sudah menerima 44 pencalonan dan delegasi yang hadir pada konvensyen berkenaan perlu memilih 15 wakil untuk menduduki jawatankuasa terbabit.

“Selepas pemilihan dibuat 15 ahli jawatankuasa tertinggi yang dipilih akan bersidang dan melantik di antara mereka untuk menduduki jawatan yang sesuai dalam parti itu,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Perak, di sini, semalam.

Kah Woh berkata, DAP Perak turut memberi notis kepada 44 calon terbabit jika ada dalam kalangan mereka berhajat untuk menarik diri supaya menghubungi ibu pejabat DAP pada atau sebelum 3 November ini jam 5 petang.

“Calon juga boleh menghantar faksimile berhubung perkara itu kepada ibu pejabat DAP di talian 03-9200 7000.

“Jika gagal berbuat demikian, calon perlu menyertai proses pengundian dan tidak dibenarkan menarik diri pada saat-saat akhir,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning berkata, ahli jawatankuasa tertinggi yang dipilih akan berkhidmat selama dua tahun.

Katanya, mereka yang terpilih berhak untuk memilih lima ahli lain bagi memantapkan jawatankuasa itu supaya memberi khidmat dengan lebih efektif.

“Bagaimanapun, jumlah maksimum ahli jawatankuasa itu hanya terhad kepada 20 orang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kah Woh berkata, 20 daripada calon adalah penyandang dalam jawatankuasa itu.

“Antaranya termasuklah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, Timbalan Pengerusi DAP Perak, M Kulasegaran dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming,” katanya.

Beliau menasihatkan supaya delegasi DAP memakai pakaian seragam parti pada hari pengundian dan berada di kaunter pendaftaran seawal jam 8 pagi.SH

No comments: