Sunday, December 12, 2010

Bagi kepada Ahli Parlimen PR, melepaslah Ketua Umno Bahagian

Tidak Beri Geran: Kerajaan Pusat Tidak Hormati Pengundi




















SHAH ALAM, 12 Dis. : Tindakan kerajaan persekutuan hanya memberi peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen Umno-Barisan Nasional(BN) menunjukkan ia tidak menghormati keputusan pengundi yang memilih Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim kesal kerana peruntukan itu adalah wang rakyat dan prinsip demokrasi menuntut supaya kerajaan memberi layanan sama kepada ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata Putrajaya akan terus menafikan ahli parlimen pembangkang daripada mendapat peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen BN.

Peruntukan itu diguna untuk membiayai projek-projek kecil di kawasan parlimen masing-masing.

Pendirian itu dilihat sebagai membelakangkan janji-janji pemimpin BN untuk menghormati keputusan pilihanraya dan mandat rakyat yang memberikan undi mereka kepada Pakatan Rakyat.

"Lagi satu contoh membelakangkan rakyat sebab semua ahli parlimen adalah dilantik oleh rakyat.

"Langkah yang diambil oleh kerajaan Barisan Nasional sekarang ialah tidak mendulukan rakyat, membelakangkan rakyat menunjuk walaupun rakyat sudah pilih pemimpin tersebut tapi Barisan Nasional tidak mengakui pilihan rakyat tersebut," katanya.

Khalid berharap Putrajaya dapat menimbang semula pendiriannya itu demi kepentingan rakyat dan untuk menyuburkan demokrasi di negara ini.

Beliau berkata jika kerajaan persekutuan setuju berbuat demikian, kerajaan Selangor tidak bermasalah untuk melakukan penyelarasan bagi peruntukan ahli dewan undangan negeri.

"Kerajaan Negeri Selangor ada membuat beberapa kenyataan, kita juga ada peruntukan untuk ahli dewan, kita kata kalau kerajaan persekutuan bersetuju yang dia akan memberikan kepada semua ahli parlimen tak kira mana parti pun kerajaan negeri akan mengikut contoh kerajaan persekutuan sebab itu sangat penting bagi kita," katanya.

No comments: