Sunday, January 23, 2011

Pindaan beri kuasa Sultan ikut perlembagaan

Dr Aziz : Tanpa Tekanan Politik Putrajaya


PETALING JAYA 23 Jan. : Pakar Undang-Undang Perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari menolak tanggapan bahawa pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor akan memberi kuasa mutlak kepada Sultan Selangor dalam hal pelantikan SUK sebaliknya memberi kuasa mengikut perlembagaan sebagai Raja Berpelembagaan.

Hal ini bermaksud Sultan akan berkuasa melantik dan memastikan ex officio dapat bekerjasama dengan baik bersama Kerajaan Negeri tanpa tekanan politik kerajaan Persekutuan.

"Sebelum ini tiada siapa tahu bidang kuasa jelas pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri ini. Raja kita Raja Berpelembagaan, ada sistem Syura, ikut nasihat govt of the day (kerajaan semasa).

"Sultan berperanan penting dalam memastikan pegawai kerajaan bersikap neutral. Pindaan ini akan membawa kembali kuasa sebenar Perlembagaan negara kita," kata beliau.

Hadirin sanggup menghadapi hujan gerimis berkumpul di tengah padang Stadium MBPJ di Kelana Jaya hari ini bagi memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam isu pelantikan SUK.

Himpunan yang dianjurkan gabungan NGO yang memperjuangkan hak pengundi seperti Bersih 2.0, MCLM, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Coalition for Good Governance (CGG) dan lain-lain ini turut bertujuan memaklumkan kepada rakyat betapa hal pelantikan Khusrin mampu menggugat pilihan rakyat yang memilih PR sebagai peneraju negeri Selangor pada PRU lalu.

Selain Dr Aziz, turut hadir ialah Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Hussin, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga , Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Exco Selangor Teresa Kok dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Faekah Husin menyatakan kerajaan Selangor bakal mencatat sejarah kerana buat kali pertama satu undang-undang jelas menyatakan kuasa Sultan dan Kerajaan Negeri dalam melantik pegawai ex-officio.

"Esok satu sejarah yang tak dapat dilupakan sehingga akhir zaman. Walaupun ramai kata isu SUK ini satu malapetaka, krisis perlembagaan tapi kami anggap ia hikmah untuk melakukan perkara yang betul," kata Faekah di hadapan lebih 200 hadirin di Himpunan Hormati Suara Rakyat Selangor.

Menurut Faekah lagi, isu ini juga telah memalukan Perkhidmatan awam dengan memberi mesej seolah tidak perlu bertugas sebaik mungkin untuk naik pangkat kerana pelantikan beliau telah melangkaui rekomendasi pegawai lain yang lebih baik, senior dan pengalaman daripada beliau.

No comments: