Sunday, January 23, 2011

Umno nak anjur demo pun ramai la sikit

Demo 10 orang petanda p’raya umum sudah dekat



PENGKALAN CHEPA, 23 Jan:
Demonstrasi yang hanya dihadiri oleh 10 orang masyarakat kampung termasuk beberapa orang luar dari Kampung Sabak berhubung kerosakan jalan di situ petanda pilihan raya umum tidak lama lagi.

Pegawai Khas Adun Chempaka, Hassan Mamat, ketika dihubungi memberitahu, perhimpunan aman yang berlaku di kampung berkenaan juga bertujuan untuk memburukkan imej Adun Chempaka, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan.

Hasan berkata, demonstrasi aman yang dilaporkan oleh beberapa buah akhbar harian hari ini berhubung kerosakan jalan berkenaan hanya berunsur fitnah.

“Jalannya tidak rosak teruk sebagaimana yang digambarkan oleh media, sebaliknya hanya berlaku kerosakan kecil sepanjang 500 meter.

“Ianya juga berlaku akibat kenderaan berat yang membawa cerucuk besi keluar masuk untuk pembinaan Sekolah Kebangsaan Pulau Gajah,” ujarnya.

Katanya, jalan berkenaan tidak seteruk sebagaimana yang digambarkan, memandangkan ianya telah dibaiki awal tahun lalu.

Pada masa yang sama, menurutnya saluran air paip AKSB rosak menyebabkan jalan turut terjejas.

Beliau juga turut menafikan beberapa buah laporan akhbar harian hari ini yang mendakwa demonstrasi aman itu ada yang dihadiri 50 orang atau 2,000 malah 10,000 orang.

Tegasnya lagi, bagaimana kehadiran peserta demonstrasi sehingga 10,000 sedangkan pengundi hanya 1,000 sahaja.

Beliau juga tidak menolak demonstrasi berkenaan dianjurkan oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk memburukkan imej Tuan Guru.

Katanya, beliau sendiri telah meninjau perkembangan jalan terbabit bersama Setiausaha Sulit Menteri Besar, Rosdi Abdullah.

Hassan bagaimanapun mengucapkan terima kasih pada pihak Jabatan Kerja Raya kerana telah membaiki jalan di Pulau Gajah.


Berita dari Sinar Harian

“Selesaikan segera”


KOTA BHARU-Penduduk di lima kampung dekat Sabak merayu pihak berkaitan untuk mengambil langkah segera menyelesaikan masalah kerosakan serius jalan raya di kawasan mereka.

Akibat tidak tahan dengan permasalahan yang dihadapi sejak lapan bulan lalu, semalam seramai 50 wakil penduduk di kawasan berkenaan mengadakan perhimpunan secara aman kira-kira 20 minit.

Tindakan berkenaan dilaksanakan bagi menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menyelesaikan kerumitan penduduk di kampung terlibat.

Antara jalan-jalan yang mengalami kerosakan teruk ialah Kampung Sabak, Kampung Pulau Gajah dan Kampung Tanjung Kuala malah jalan berkenaan juga digunakan untuk ke kawasan pelancongan iaitu menuju ke Pantai Dasar Sabak.

Penduduk mendakwa lebih mengecewakan kerana masalah berkenaan yang tidak mendapat perhatian pihak berkaitan turut menjejaskan aktiviti penduduk dan membahayakan pengguna jalan raya terutama pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), Ahmad Rasydan Mohd Khir berkata, masalah berkenaan sudah diajukan kepada pihak berwajib tetapi tiada kesudahannya.

“Jalan ini sangat teruk dan sudah lama rosak, sampai bila kami perlu menunggu dan keadaan ini lebih serius ketika musim hujan.

“Penduduk harap Kerajaan Negeri dapat mengambil tindakan cepat kerana kami bimbang keselamatan pelajar terutama musim hujan dan jalan berlopak sehingga menyebabkan mereka terjatuh,” katanya kepada media ketika ditemui di sini semalam.

Seorang penduduk, Mat Noor Yusuf, 71, mengharap pihak berkenaan memandang serius keadaan ini kerana sebagai pemimpin mereka perlu menjaga kebajikan rakyatnya.

“Penduduk di sini merayu dan meminta pihak tertentu turun padang melihat situasi yang dilalui penduduk,” katanya.

Jalan-jalan yang bermasalah itu hanya diletakkan dengan batu kelikir dan ini tidak dapat menyelesaikan masalah terbabit dalam jangka masa panjang.

No comments: