Tuesday, February 8, 2011

Hutang isi rumah tinggi kerana dasar ekonomi kerajaan BN

PKR kemuka dasar untuk atasi hutang isi rumah - Azmin


PETALING JAYA 8 Feb.: Parti Keadilan Rakyat akan mengemukakan dasar alternatif bagi menyelesaikan masalah hutang isi rumah yang semakin menghimpit taraf kehidupan masyarakat pada Konvensyen Ekonomi Pakatan Rakyat bulan depan.

Perangkaan menunjukkan hutang isi rumah Malaysia mencecah 74 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar KDNK pada November 2010 akibat pendapatan keluarga yang semakin terjejas.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata konvensyen itu akan merumuskan pendekatan ekonomi yang sesuai bagi meningkatkan pendapatan rakyat sekaligus menurunkan kadar hutang setiap keluarga.

Hutang isi rumah yang tinggi adalah bukti dasar ekonomi tajaan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) hanya memburukkan kedudukan kewangan dengan sebilangan besar keluarga terpaksa mengagihkan sejumlah besar pendapatan mereka untuk membayar hutang.

Dasar-dasar Umno-BN tidak mengambil kira hakikat setiap keluarga terpaksa menanggung hutang negara yang kini melebihi 50 peratus kepada KDNK selain hutang peribadi.

"Kita yakin kalau mahu menjana ekonomi, rakyat perlu ada kapasiti untuk belanja," jelas beliau.

Bercakap pada sidang media mingguan di ibupejabat PKR pagi tadi, Ahli Parlimen Gombak itu menegaskan sebahagian besar daripada ketidakupayaan rakyat menikmati taraf hidup baik adalaj berpaksi kepada tindakan kerajaan melindungi kepentingan kroni.

Azmin memberitahu, hutang isi rumah yang dicatat berjumlah RM577 bilion berdasarkan statistik bulanan Bank Negara Malaysia merangkumi beban pinjaman kereta (RM118 bilion), pinjaman perumahan (RM225 bilion) dan pinjaman peribadi (RM22 bilion) selain anggaran hutang kad kredit (RM200 bilion).

Ini jelasnya membuktikan kadar perbelanjaan pendapatan rakyat semakin rendah setiap tahun berbanding kadar hutang yang tinggi.

"Sikap Umno-BN dalam menangani masalaah harga kereta dan rumah yang mahal dihadapi rakyat adalah bukti mereka tidak mempedulikan kesengasaraan rakyat. Rintihan rakyat selama ini terpaksa menanggung perbelanjaan yang tidak dapat dielakkan langsung tidak diendahkan," ujar beliau lagi.

Justeru sebagai permulaan Azmin berkata, PKR akan berunding dengan pakar bagi mencari pendekatan radikal untuk merombak dasar automotif negara.

Menurut beliau, kerajaan mengenakan tiga jenis cukai yang melipat gandakan harga kereta. Ini termasuk cukai import, cukai eksais dan cukai jualan.

Katanya, walaupun kenderaan di bawah 1,500 cc, cukai yang dikenakan sekurang-kurangnya 60 peratus untuk eksais, 10 peratus cukai jualan manakala 30 peratus cukai import, 60 peratus cukai eksais dan 10 peratus cukai jualan untuk kereta import.

"Ini bermakna bagi setiap kereta paling kecil yang dijual oleh Perodua pada harga RM40,000, sebanyak RM16,500 cukai dibayar kepada kerajaan.

"Oleh itu, masanya telah tiba untuk rakyat menilai dasar-dasar baru yang radikal untuk mengurangkan harga kereta dan rumah," ujar beliau.

Beliau turun mendesak kerajaan Umno-BN memohon maaf kepada rakyat dan menjelaskan kenapa rakyat dibebani pelbagai hutang sepanjang masa, walaupun membayar pelbagai cukai.

No comments: