Tuesday, March 22, 2011

Gelombang Merah satu cabaran

Gelombang Merah cabaran buat Pemuda Pas

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9qKLg_lG8LT5jd-TfpOzPCL1qRz2UTxyJ7-rTsrXOlw4Ks0gZt8sooXJbvG0Kk5n9qdlZ6FqRhKiGWymUsySXVkbvy3QwWhpLp3EPpWSpJlc1LnKYV_cvpU3wStgvhl4zfG8hQZuUBYVA/s1600/wanitaumno.jpgKOTA BHARU – Pemuda Pas Kelantan tidak memandang remeh kempen ‘Gelombang Merah’ yang dilancarkan UMNO malah mengambilnya sebagai satu cabaran dan ancaman terhadap sokongan golongan muda kepada parti itu.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pihaknya mempunyai agenda tersendiri dalam menangkis ancaman itu dan dalam usaha mengekalkan sokongan golongan belia supaya terus memberi sokongan kepada Pas, banyak program sudah diatur.

“Pemuda Pas mempunyai pelbagai program yang dikhususkan untuk golongan muda di negeri ini kerana menyedari golongan itu penyumbang utama undi di negeri ini seperti ‘Pemuda Pas Kelantan Terus Berbakti’ dan ia akan diperhebatkan lagi tahun ini.

“Program anjuran Pas banyak sebenarnya untuk golongan muda termasuk aktiviti sukan, kebajikan, ziarah, gotong royong dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas mengenai kempen Gelombang Merah UMNO yang dikatakan semakin mendapat tempat di hati pengundi muda Kelantan.

Menurutnya, peningkatan kehadiran peserta program dalam kempen Gelombang Merah bukan ukuran sebenar peningkatan sokongan golongan muda terhadap UMNO di negeri ini.

Ini kerana, katanya, setiap kali program itu diadakan arahan akan dikeluarkan oleh UMNO supaya semua guru hadir untuk meramaikan peserta program.

Abdul Latiff berkata, ia adalah salah guna kuasa kerana pihak berkenaan melalui Pejabat Pelajaran Daerah mengarahkan semua guru hadir pada program anjuran mereka.

“Oleh itu kehadiran peserta yang meningkat bukan ukuran sebenar peningkatan sokongan generasi muda dalam program anjuran UMNO,” katanya.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kempen ‘Gelombang Merah’ yang dilancarkan pihaknya bagi mendekati 400,000 pengundi muda negeri itu memberi kesan positif menerusi peningkatan peserta program.

Sejak dilancarkan bulan lalu, secara purata lebih 1,000 belia menyertai setiap program yang diadakan dan beliau anggap program itu memberi impak positif.

Mustapa berkata, respons positif golongan muda itu memberi petanda baik kepada Barisan Nasional menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.SH

No comments: