Tuesday, March 22, 2011

PR Perak bersedia bila-bila masa

http://2.bp.blogspot.com/_JKMfRHP8nU8/TP4HQu4XOOI/AAAAAAAAAfA/cyi2og_0bCo/s400/perak3.png
IPOH - Pakatan Rakyat (PR) negeri Perak sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri mahupun pilihan raya umum dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, segala perancangan dan strategi diatur bagi menghadapi sebarang kemungkinan dijangka berlaku.

Menurut beliau, tumpuan akan diberikan terhadap penerangan Buku Jingga kepada rakyat supaya mereka faham terhadap PR. “Bagi mereka yang tidak boleh membaca, kami akan pergi buat penerangan daripada rumah ke rumah secara berkelompok khususnya kawasan yang ramai Melayu di kawasan pendalaman.

“Rakyat perlu faham apa sebenarnya hasrat kita di dalam Buku Jingga ini sehingga ia sangat ditakuti oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Buku Jingga Peringkat Negeri Perak di sini, malam semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Pesuruhjaya Pas Negeri, Abu Bakar Hussain; Pengerusi DAP Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham; Timbalan Pengerusi Pimpinan PKR Negeri, Dr Lee Boon Chye; Wakil Pimpinan PR Pusat, Dr Dzulkifly Ahmad dan beberapa ADUN PR yang lain.

Menurut bekas Menteri Besar itu, selain Buku Jingga PR akan mengeluarkan Manifesto Negeri Perak dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pada 10 April depan Pas, PKR dan DAP akan mengadakan satu persidangan bagi mendapatkan dan mencari isu-isu berkaitan untuk dimasukkan dalam manifesto berkenaan.

Beliau berkata, Buku Jingga itu adalah tawaran PR kepada rakyat dan kita juga ada tawaran 100 hari sekiranya PR kembali memerintah di negeri ini.

“Sekarang ini rakyat akan dapat bezakan tawaran UMNO dalam konteks rasuah yang nak tunggu wakil rakyat mati baru mereka tawar.

“Tetapi kami tidak, kami tawar awal-awal seperti yang tertera dalam Buku Jingga dan rakyat ada pilihan sekarang,” katanya.

Sementara itu, ketika memberikan ucapan kepada hadirin yang datang, beliau berkata, Buku Jingga yang dilancarkan bakal memberikan kegerunan kepada BN.

“UMNO dan BN sekarang cukup takut dan ngeri dengan kewujudan Buku Jingga ini kerana bimbang rakyat akan menyokong PR.

“Sebab itulah di Parlimen wakil-wakil rakyat BN mengeluarkan pelbagai gelaran kepada Buku Jingga ini,” katanya.

Katanya, bukan sahaja Buku Jingga, UMNO dan BN juga sangat takut akan kewujudan sistem dua parti apabila pendaftaran PR diluluskan nanti.

Beliau berkata, sistem dua parti itu nanti akan memudahkan rakyat untuk menilai parti mana yang benar-benar bekerja untuk rakyat.SH

No comments: