Tuesday, March 30, 2010

ADUN PR dianaktirikan


IPOH , 30 Mac : Kedegilan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Speaker, Datuk R Ganesan berjumpa semua Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pakatan Rakyat (PR), semalam mungkin boleh menjerumuskan kepada tindakan mogok sebagaimana yang digerakkan oleh kumpulan baju merah di Thailand.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, permintaan untuk mengadakan perbincangan itu tidak wajar ditolak kerana ia sekadar mahu memastikan urusan perjalanan sidang DUN lancar dan demi kepentingan rakyat negeri Perak.

Menurutnya, tiga hari lalu, beliau mencadangkan supaya diadakan perbincangan antara ADUN PR dengan Zambry dan Ganesan di Dewan Bandaran Ipoh, tetapi kedua-duanya tidak hadir selepas menunggu lebih 30 minit.

“Kami menganggap ia satu tindakan tidak bertanggungjawab daripada Zambry yang seolah-olah menganaktirikan kami walhal apa yang kami hasratkan ini adalah untuk menjaga kebajikan rakyat di DUN masing-masing.

“Tambahan lagi, kenyataan dalam media sebelum ini, menunjukkan bahawa kami tidak bekerjasama amat bertentangan sama sekali bahkan menafikan sekeras-kerasnya kenyataan berkenaan, malah kami sudah nyatakan dengan jelas yang kami akan hadir dalam sidang berkenaan,” katanya kepada pemberita di Dewan Bandaran Ipoh, semalam.

Hadir sama, ADUN Tronoh, V Sivakumar; ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming; ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham; ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah; ADUN Lubok Merbau, Mohd Zainudin Mohd Yusof; ADUN Kuala Sepetang, Tai Sing Ng; ADUN Kepayang, Loke Chee Yan; ADUN Bercham, Sum Cheok Leng.
Italic
Nizar berkata, dua hari lalu mereka menerima surat daripada Ganesan yang mengarahkan supaya ADUN BN memasuki dewan terlebih dahulu dan menggunakan lif nombor tiga pada jam 10.15 pagi, manakala ADUN PR selepas itu dengan menggunakan lif nombor enam.

Katanya, arahan ini merupakan sejarah dalam sidang DUN sedangkan di Parlimen sendiri tidak pernah berlaku pengasingan tersebut malah wakil rakyat BN serta PR bebas keluar dan menggunakan mana-mana laluan.

“Kami juga difahamkan beberapa pintu masuk ke bandar raya ini akan ditutup, walaupun sebelum ini kami diberitahu bahawa tidak ada sebarang gangguan.

“Jadi, kami minta rakyat menilai apa yang dipraktikkan oleh BN, seolah-olah mereka ini takut dengan kami,” katanya.SH

No comments: