Tuesday, March 30, 2010

Kutipan sehari meningkat RM20,000 hingga RM30,000



ALOR SETAR, 30 Mac : Polisi Kerajaan Negeri yang menggunakan khidmat bank untuk menguruskan kutipan bayaran tertunggak perumahan awam diterima baik penduduk, apabila jumlah kutipan meningkat mendadak.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, sejak polisi itu diumumkan, jumlah kutipan sehari meningkat kepada RM20,000 hingga RM30,000 berbanding kurang RM10,000 sebelum ini.

“Hasil maklum balas positif itu, menyebabkan jumlah kutipan meningkat sekali gus menidakkan tohmahan yang mengatakan penduduk membantah polisi baru itu seperti yang didakwa sesetengah pihak,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Azizan berkata, sejak polisi itu diperkenalkan, setiap hari ada sahaja penghuni perumahan awam yang menjelaskan hutang tertunggak, termasuk sewa bulanan RM100 sebulan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada penghuni yang membayar namun pada masa sama, Kerajaan Negeri akan pastikan mereka membayar secara berterusan. Saya harap selepas ini, tiada lagi pihak yang tunjuk hero untuk bela orang yang tidak bayar hutang, sebab polisi ini mendapat reaksi menggalakkan daripada penduduk,” katanya.

Menurutnya, ini membuktikan polisi yang diperkenalkan 24 Februari lalu berjaya menyelesaikan masalah tunggakan hutang perumahan awam di negeri ini yang mencecah RM27 juta tahun ini. Terdapat 40 kawasan perumahan awam di seluruh Kedah.

Azizan berkata, walaupun ada segelintir penduduk masih belum menjelaskan hutang tertunggak dan notis keluar rumah dikeluarkan oleh mahkamah, Kerajaan Negeri tidak kejam untuk menghalau penghuni.

“Apabila menggunakan khidmat bank, mereka mempunyai jentera yang mencukupi untuk selesaikan masalah ini. Dulu pun ada yang bayar tetapi jumlahnya sangat sedikit,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mengenal pasti dua institusi perbankan untuk menguruskan kutipan ini dalam tempoh terdekat.

“Saya harap penduduk bayarlah, sebab rumah itu kelak akan menjadi hak milik mereka juga,” katanya.

Mengulas mengenai beberapa keluarga di perumahan awam Paya Nahu di Sungai Petani, yang diminta mengosongkan rumah oleh Kerajaan Negeri, Azizan berkata, Kerajaan Negeri tidak terbabit dalam tindakan itu kerana ia bawah seliaan Kerajaan Pusat.

“Itu projek rumah transit Kerajaan Pusat. Kerajaan Negeri hanya bertanggung jawab terhadap bayaran bil elektrik dan air di situ. Sebelum ini arahan pengosongan dibuat sebab penduduk tidak bayar bil elektrik dan air. Tetapi masalah ini telah selesai. Selebihnya, kena tanya kepada mereka,” katanya.SH

No comments: