Tuesday, March 30, 2010

Pantau kafe siber

PARIT BUNTAR , 30 Mac : Kewujudan kafe siber banyak memberi manfaat kepada masyarakat, namun kafe siber yang beroperasi melebihi had waktu dan membenarkan pelajar apatah lagi dengan pakaian seragam sekolah serta kanak-kanak berusia bawah 12 tahun memasuki premis itu harus diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar Hamdan Fadel Ahmad berkata Majlis Daerah Kerian (MDK ) perlu kerap membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kafe siber di Parit Buntar yang melanggar peraturan yang dibenarkan.

“ Pejabat ini telah menerima aduan penduduk berkenaan kewujudan kafe siber yang tidak mematuhi peraturan.

“ Mereka bimbang pelajar sekolah menghabiskan masa di kafe siber sehingga sanggup ponteng sekolah kerana ketagih bermain permainan video “katanya

Hamdan berkata, pihak polis juga perlu kerap membuat rondaan, manakala pengusaha kafe siber pula perlu tegas dengan tidak membenarkan pelajar berpakaian seragam sekolah memasuki premis mereka selain menyekat laman web lucah.

“ Ada ibu bapa yang menyarankan supaya Majlis Daerah Kerian mengetatkan syarat untuk operasi pusat siber termasuk mengehadkan aktiviti utamanya kepada aktiviti penyebaran dan mendapatkan maklumat melalui internet” katanya

Menurutnya, penguasaha kafe siber juga kadang-kadang tidak menghiraukan peraturan yang ditetapkan Majlis Daerah Kerian.

“ Mereka tidak mengendahkan syarat ditetapkan. Hanya keuntungan sahaja yang dipentingkan”katanya

Tambah Hamdan, ibu-bapa juga hendaklah mengawasi aktiviti anak-anak mereka samada dirumah atau pun diluar rumah.

“ Ada sesetengah kanak-kanak ini sangat bijak memberi alasan kepada ibu-bapa mereka kononnya hendak pergi ke sekolah membuat aktiviti kokurikulum dan sebagainya.

“ Sedangkan mereka ini melencong ke kafe siber untuk melayari internet seperti bermain permainan video dan melihat laman web lucah” katanya

Hamdan berkata, memandangkan ramai pelajar dan remaja Islam yang mengunjungi kafe siber , ibu-bapa wajib memberi didikan kepada anak-anak terutamanya berkaitan denga hal keagamaan.

“ Anak-anak hendaklah dididik dan ditanam dengan nilai-nilai keagamaan supaya mereka tidak akan melakukan perkara yang dilarang dalam agama seperti menonton video lucah dan sebagainya.

“ Perasaan takut untuk melakukan kemungkaran haruslah diwujudkan dalam diri mereka dengan menerangkan balasan-balasan yang akan ditanggung di akhirat kelak seperti azab api neraka “ katanya.

No comments: