Tuesday, March 30, 2010

Pos Malaysia rugi RM546 juta , menteri bertanggungjawab



KUALA LUMPUR, 30 Mac: PAS mahu kerajaan mengkaji kegagalan urusniaga Pos Malaysia dan mahu Pengerusi Pos Malaysia, Pengerusi Khazanah Nasional dan Menteri Kewangan bertanggungjawab di atas kerugian berjumlah RM546 juta itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, Pos Malaysia sebagai GLC milik negara membelanjakan wang rakyat untuk urusniaganya seharusnya memberikan pulangan yang positif bukannya memberikan kerugian yang besar.

Sehubungan itu, katanya, PAS mengambil pandangan yang serius terhadap ucapan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong di parlimen berhubung pendedahan bekas ahli parlimen yang juga mantan Pengerusi Pos Malaysia & Services Holdings Bhd, Tan Sri Adam Kadir dalam majalah Malaysian Business bertajuk 'Is whistle-blowing really serious'.

Katanya, artikel berkenaan turut menyentuh secara langsung isu kehilangan wang rakyat berjumlah RM546 juta dalam pelaburan Pos Malaysia.

Tambahnya, tindakan Khazanah Nasional yang mempengaruhi Pos Malaysia untuk melambatkan penjualan sahamnya dalam syarikat pengendali kargo yang bermasalah, Transmile Group Bhd telah menyebabkan negara rugi bila mana sahamnya jatuh kepada harga 35 sen seunit dengan nilai keseluruhan hanya RM14 juta pada 26 Februari 2010.

Sebelum ini, Pos Malaysia boleh menjual saham itu pada harga tinggi iaitu RM14 dengan nilai keseluruhan adalah RM546 juta, namun percaturan yang dibuat jelas merugikan rakyat.

Pos Malaysia adalah pemegang saham kedua terbesar dalam Transmile Group Bhd selepas raja gula Malaysia, Robert Kuok (Kuok Brothers Sdn Bhd).

Pada tahun 2004, Pos Malaysia menjual 30 peratus kepentingan dalam Transmile Air Services Sdn Bhd iaitu anak syarikat Transmile Group Bhd sebelum membeli saham Transmile Group Bhd.

Walau bagaimana pun penjualan dan pembelian saham-saham itu ternyata tidak mendatangkan faedah bila mana Transmile Group Bhd selepas itu mengalami kemerosotan dan nilai sahamnya jatuh teruk selepas itu.

Tahun lepas sahaja, Pos Malaysia mengumumkan kerugiannya sebanyak RM113.20 juta, di mana RM107.19 juta adalah kerugian yang diterima dalam pelaburan di Transmile Group Bhd.

“Rakyat pasti bertanya, kenapa Pos Malaysia tidak mahu melabur dalam Malaysia Airlines Cargo Sdn Bhd (Mas Kargo) yang juga salah satu GLC milik negara yang lebih menguntungkan dalam operasi penghantaran kargonya?

“Adakah pelaburan sebelum ini ada kepentingan untuk membantu menyelamatkan syarikat Transmile Group Bhd yang turut dimiliki bersama dengan Robert Kuok?” tanya Idris.

Menurutnya, PAS hanya melihat kes itu sebenarnya mengulangi insiden kegagalan pengurusan GLC milik negara seperti Proton yang menjual sahamnya dalam MV Agusta dengan harga 1 Euro sahaja.

Tambahnya, pendedahan mantan Pengerusi Pos Malaysia itu juga harus disiasat dan rakyat mahukan jawapan.
Harakahdaily

No comments: