Monday, November 22, 2010

Bubar saja parti komponen BN



















KUALA LUMPUR, 23 Nov: Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa mencadangkan supaya kesemua parti komponen dalam BN yang berasaskan kaum dibubarkan untuk menghapuskan sentimen perkauman yang semakin berleluasa di negara ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini yang memperkenalkan pendaftaran ahli BN secara terus, ahli-ahli parti, Rakan BN dan Kelab Sahabat BN.

Tambahnya, keputusan itu telah menunjukkan kuasa Umno semakin berleluasa dalam BN dan parti perkauman Melayu itu semakin mengetepikan parti komponen yang lain.

Menurutnya, laungan perkauman sering kali kedengaran di perhimpunan agung Umno.

Baginya, Umno yang merupakan parti memerintah tidak banyak beza dengan Perkasa yang dilihat mengamalkan perkauman.

“Kekuasaan mutlak Umno dalam BN telah meminggirkan peranan parti komponen lain dalam Barisan Nasional,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, parti komponen yang berasaskan sokongan orang Cina seperti MCA dan Gerakan telah dianggap sebagai penakut dan pengecut oleh pengundi kerana gagal untuk melawan keangkuhan Umno.

Ujarnya lagi, oleh kerana sumber yang semakin terhad dan penyakit 50 tahun memerintah Malaysia, ketidakupayaan Umno dalam meluaskan lagi kekuasaan politik di negara ini telah memandang rendah terhadap parti komponen BN kerana gagal untuk mencari balik populariti BN.

Justeru, katanya BN harus menghapuskan polisi yang berasaskan kaum dan parti politik kaum sekiranya mereka benar-benar memikirkan kebaikan untuk rakyat Malaysia.

Namun, tambahnya lagi Umno yang berselindung di bawah payung perkauman untuk mencari kepentingan mereka menjadikan Umno tidak mungkin untuk menghindari perkauman.

“Mereka masih perlu menggunakan isu perkauman untuk mencari populariti murahan. Kekuasaan mutlak Umno dalam BN semakin mengikis dan merampas peranan parti komponen berasaskan orang Cina dalam BN,” ujarnya.

Menurutnya, organisasi bukan kerajaan (NGO) 1Malaysia yang dilancarkan pada Pilihan raya kecil Dun Galas, baru-baru ini sekali lagi membuktikan Umno tidak memerlukan parti komponen berasaskan orang Cina untuk mencapai kejayaan.

“Hal ini akan membawa kepada situasi di mana Umno akan merampas kerusi dari parti komponen mereka kerana pencapaian parti komponen yang kurang memuaskan.

“Walaupun parti komponen menentang tindakan BN untuk membuka keahlian BN, namum hal ini telah berjaya dilaksanakan dan sesiapa pun tidak akan menjamin apa yang bakal berlaku pada masa depan,” ujarnya.

No comments: