Monday, November 22, 2010

Pindaan kosmetik BN kaburi rakyat


KUALA LUMPUR 22 NOV. : Pindaan peraturan dalam Barisan Nasional(BN) adalah bersifat kosmetik untuk mengaburi rakyat tentang sokongan rakyat terhadap komponen itu.

Perkara ini dibangkitkan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dipetik The Malaysian Insider.


Ia pindaan paling besar sejak BN ditubuhkan awal 1970-an bagi menggantikan Perikatan dengan lebih banyak keanggotaan.


Menurut Hadi, langkah terbaru BN itu jelas menunjukkan BN kini berhadapan dengan krisis besar terutamanya di kalangan parti komponen.


“Saya menganggap itu tanda BN sudah mempunyai kelemahan yang teruk dan untuk tampung kelemahan itu mereka terpaksa buat begitu.


“Kelemahan itu berpunca daripada parti komponen BN, semua orang pun tahu krisis yang dialami dalam BN. Sebab itu, BN terpaksa mengambil langkah ini,” katanya.


Ahli Parlimen Marang itu juga menolak dakwaan bahawa langkah BN tersebut akan memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada PR.


“Bagi saya langkah yang diambil BN itu tidak akan beri kesan pun kepada Pakatan Rakyat.


“BN terpaksa buat macam itu sebab nak atasi kelemahan parti komponen, itu sahaja,” katanya.


Semalam Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata, Dewan Tertinggi meluluskan langkah menerima anggota-anggota langsung, sistem yang mirip diguna pakai oleh Perikatan awal 1970-an.


Selain itu, BN juga akan menubuhkan kelab Rakan Muda BN bagi menarik penyokong berusia antara 18 dan 21 tahun.


Najib yang juga menjelaskan keputusan bersejarah itu memperlihatkan usaha BN menjadi parti yang inklusif dan terbuka kepada semua yang berkongsi pada konsep, prinsip dan dasar perjuangan parti pemerintah berkenaan dan selesa dan serasi jika menjadi anggota bersekutu.


“Mereka yang ingin menyertai BN boleh mohon secara terus menjadi anggota bersekutu. Bagaimanapun Dewan Tertinggi BN akan tentukan hak-hak dan keistimwewaan mereka yang menjadi ahli (anggota) bersekutu.


“Anggota bersekutu tidak mempunyai hak yang sama seperti mana anggota pada parti komponen tetapi kita ingin memperlihatkan BN sebagai parti yang inklusif dan bersikap pintu terbuka,” katanya.


Beliau berkata Dewan Tertinggi BN turut memutuskan bahawa keanggotaan bergabung boleh dipohon secara terus yang bererti mana-mana pertubuhan politik, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan boleh memohon menjadi anggota.


Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub berkata, langkah BN meluluskan pindaan untuk menerima anggota-anggota langsung dengan serta-merta jelas menunjukkan ikatan parti komponen BN semakin longgar.


“Kalau kita lihat selama ini pun NGO sentiasa dapat bantuan daripada kerajaan dan langkah ini membolehkan NGO yang condong kepada BN akan lebih rapat lagi.


“Ini juga langkah percubaan BN untuk tambah sokongan NGO yang ada tapi saya percaya NGO lebih cenderung untuk mempunyai pendirian tersendiri dalam politik,” katanya lagi.


Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, langkah ini semata-mata mendapatkan semula sokongan rakyat yang kini dilihat lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat berbanding BN.


“Kesan kepada Pakatan Rakyat? Pada saya langkah yang diambil BN ini tidak beri apa-apa kesan pun kepada kita.


“Yang sokong BN akan tetap sokong BN, langkah itu tidak akan menarik ahli PR begitu juga pengundi atas pagar,” katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

No comments: