Monday, November 22, 2010

Pemilihan MTUC : Dua kem bertembung




























KUALA LUMPUR, 23 Nov. : Pemilihan kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bulan depan — bakal menyaksikan pertembungan dua kem tradisi di samping beberapa individu yang berdiri sendiri khususnya bagi jawatan timbalan presiden dan setiausaha agung.

Malah, pemilihan kali ini juga dilihat bakal menentukan sama ada kepimpinan tertinggi badan induk kesatuan sekerja tersebut akan diterajui pemimpin-pemimpin dari PKR.

Seperti telah dijangkakan, persaingan dilihat memfokus kem Presiden Syed Shahir Syed Mohamud dan Setiausaha Agung G. Rajasekaran bulan depan.

Syed Shahir, yang dicalonkan 14 kesatuan gabungan, dicabar oleh Mohd Khalid Atan dari Kesatuan Pekerja-pekerja Perhutanan yang menerima 18 pencalonan.

Kini, Khalid adalah timbalan presiden MTUC dan dilihat memihak kepada kepimpinan Rajasekaran, yang memutuskan tidak mempertahankan jawatannya.

Berbanding jawatan itu, kerusi setiausaha agung yang kosong akan disaingi tiga muka.

Ketiga-tiga calon itu ialah J Solomon, Halim Mansor dan Abdullah Sani Abdul Hamid.

Abdullah Sani, Ahli Parlimen PKR Kuala Langat pernah bertanding pada pemilihan 2007, beberapa bulan sebelum dipilih sebagai wakil rakyat, tetapi tewas kepada Rajasekaran.

Selain mereka, tiga nama lain dicalonkan untuk jawatan setiausaha agung iaitu Samuel Devadasan, P. Maniyam dan Bruno Periera.

Bagaimanapun hanya tiga orang mengesahkan untuk menerima pencalonan sehingga 5 petang semalam iaitu tarikh akhir untuk berbuat demikian.

Halim, yang juga Timbalan Setiausaha Agung MTUC ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan senarai akhir calon yang bakal berentap pada pemilihan akhir bulan depan sempena persidangan perwakilan tiga tahun sekali.

“Hanya tiga orang bertanding jawatan setiausaha agung iaitu saya, Solomon dan Abdullah Sani,” kata beliau.

Persidangan perwakilan yang sepatutnya diadakan 21 dan 22 Disember ditunda seminggu, sehingga 28 dan 29 Disember, bagi membolehkan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melangsungkan persidangan mereka, yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Abdullah Sani sekali lagi berganding dengan Syed Mohamud yang mahu mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.

“Saya berganding dengan Syed Shahir dan saya yakin mampu lakukan (menang) kali ini,” kata Abdullah Sani ketika dihubungi.

“Samuel akan bertanding jawatan timbalan setiausaha agung dan Bruno sebagai naib presiden (sektor swasta),” kata beliau.

“Tiada sebarang kompromi dengan mana-mana pihak, saya tidak kompromi dengan sesiapa dalam menentukan barisan saingan... cuma saya ada berbincang-bincang dengan Solomon seperti biasa,” kata beliau yang yakin mempunyai peluang lebih cerah kali ini.

Solomon ketika dihubungi berkata, walaupun beliau tidak menyertai mana-mana barisan atau kumpulan — kem Syed Shahir atau Rajasekaran, yakin akan melakukan kejutan dalam pemilihan kali ini.

“Saya yakin dengan kekuatan saya walaupun saya turun tanpa kem, ya... saya yakin. Saya yakin dengan kekuatan dan sokongan yang ada pada saya,” kata Solomon yang mengejutkan banyak pihak dengan keputusan mahu bertanding jawatan setiausaha agung.

Solomon juga sudah menawarkan manifesto dan strategi 10 perkara untuk pertimbangan anggota MTUC.

Nasib calon pada pemilihan kali ini akan ditentukan oleh sekitar 500 perwakilan.

Ketika dihubungi, Periera juga mengesahkan hanya akan bertanding jawatan naib presiden.
“Saya akan memberi tumpuan bagi jawatan naib presiden,” kata beliau yang disertakan dalam kem Syed Shahir dan Abdullah Sani.

Jawatan timbalan presiden yang kini kosong disaingi oleh Maniyam dari Kesatuan Pekerja-pekerja Industri Elektrik, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Loke Yim Pheng, Mohd Jafar Abd Majid (Kesatuan Pekerja-pekerja Telekom Kebangsaan) dan Abdul Razak Md Hassan (Kesatuan Keretapi Tanah Melayu).

“Loke tidak mengesahkan sama ada menerima atau menolak pencalonan, tetapi oleh kerana beliau tidak menjawab surat tawaran, berdasarkan perlembagaan MTUC, nama dia akan disenaraikan dalam saingan jawatan timbalan presiden,” kata Halim.

Saingan bagi jawatan timbalan presiden, setiausaha agung dan timbalan setiausaha kewangan menyaksikan persaingan calon yang tidak memihak mana-mana kem.

Kerusi timbalan setiausaha agung menjadi rebutan Devadasan dan R. Jey Kumar manakala bagi jawatan setiausaha kewangan, walaupun tujuh nama dicalonkan hanya akan ditandingi Abdullah Abu Bakar dan Awang Ibrahim.

Dalam pada itu, Jimmy Ng, C. Pramasivam, Mohd Azmi Abu Bakar dan Md Helmee Abu bersaing merebut jawatan timbalan setiausaha kewangan.

Pemilihan juga diadakan bagi kerusi naib presiden yang dikhususkan bagi sektor swasta, kerajaan dan badan-badan berkanun.

No comments: