Monday, November 22, 2010

Tegku Mahkota rasmi Ekspo Cheng Ho 2010


KOTA BHARU, 21 Nov. : Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan merasmikan Ekspo Cheng Ho 2010 di Kelantan Trade Centre, di sini, semalam dengan pelbagai persembahan menarik disediakan penganjur.

Ekspo selama enam hari yang bertemakan persahabatan dan kemakmuran itu dihadiri delegasi pelbagai negara terutama dari China, Kazastan, Uzbekistan dan sebagainya serta hadirin tempatan.


Permulaan majlis diserikan dengan bacaan al-Quran oleh qari dari Yunnan, China, Hussin Bao Cheng sebelum diikuti dengan bacaan doa Imam Besar Wilayah Guanzhou, Ma Bau Yu.


Aturcara majlis kemudian dimulakan dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Induk ekspo berkenaan, Datuk Husam Musa; Datuk Bandar Sinchuan City dan ucapan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.


Selesai ucapan itu, hadirin berpeluang menyak-sikan persembahan kemahiran tangan daripada Khairat Aziz sebelum diikuti aksi seni mempertahankan diri kumpulan Shaolin, persembahan muzik dan nyanyian yang mendapat tepukan gemuruh.


Selesai majlis perasmian, Tengku Mahkota berangkat merasmikan pameran Cheng Ho dan menyaksikan pameran al-Quran terpanjang di dunia, sejarah pengembaraan Laksamana Cheng Ho dan beberapa artifak bernilai dari China di tingkat 4 KTC.


Dalam ucapannya, Ahmad berharap kerjasama yang dijalinkan dalam ekspo enam hari itu akan menjadi pemangkin kepada kerjasama berterusan di kalangan delegasi dalam bidang perniagaan, pelancongan dan sebagainya.


“Ia bakal disusuli dengan pelbagai usaha untuk titik mula pembangunan ekonomi di Kelantan.


“Ini kerana jika dilihat kebanyakan usahawan yang menyertai eskpo ini beragama Islam dan mereka mampu menjadi peneraju dalam bidang masing-masing di negara China,” katanya.


Menurutnya, Kelantan akan tampil menjadi teraju perubahan bidang ini dalam usaha meningkatkan lagi ekonomi masyarakat negeri ini standing dengan negara luar.


Katanya, melalui program antarabangsa seperti ini yang disertai pelbagai negara luar ia dapat menyatukan satu aktiviti besar-besaran terutama dalam bidang pengeluaran produk makanan halal, perbankan, kewangan dan bioteknologi.SH

No comments: