Thursday, January 5, 2012

BANGUNAN SALIHIAH!!! Tanya ahli agama bukan rujuk ahli politik - Mufti Kedah

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash4/379077_10150465637537157_319981142156_8760210_1128489363_n.jpg

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-snc7/s720x720/403727_10150465637792157_319981142156_8760213_1184659092_n.jpg




Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan sebuah syarikat swasta menjalin kerjasama memulih dan membangunkan semula Plaza Tunku Yaakob yang terbengkalai lebih 30 tahun. Projek yang dinamakan Aman Central bukan sahaja untuk memperindahkan semula wajah Bandaraya Alor Setar, tetapi merupakan satu pelaburan besar untuk merancakkan semula ekonomi Kedah.

Namun timbul pula isu apabila tapak yang mahu dibangunkan itu turut meliputi kawasan tanah wakaf yang juga menempatkan sebuah madrasah, iaitu Madrasah Salihiah. Memandangkan tanah wakaf itu terlibat dalam pelan pembangunan, maka pemegang amanah harta wakaf, Majlis Agama Islam Kedah (Maik) mencadangkan ianya diroboh sementara dan dibangunkan sebuah surau baru berdekatan.

Bagaimana pun, perobohan madrasah itu mendapat tentangan hebat jawatankuasa madrasah yang bertindak menubuhkan Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS). Pelbagai pihak tampil menuding kesalahan kepada Kerajaan Negeri termasuk Majlis Fatwa Negeri Kedah dan Maik atas keputusan itu.

Roslinda Hashim berkesempatan menemubual Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad, yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Negeri Kedah berhubung kemelut yang semakin mendapat perhatian rakyat Kedah ini.

Sinar Harian (SS): Isu Madrasah Salihiah semakin ‘panas’ hingga wujud pelbagai tanggapan terhadap Majlis Fatwa Negeri Kedah dan Majlis Agama Islam Kedah (Maik), ekoran keputusan meroboh bangunan itu. Adakah pihak madrasah pernah berjumpa bagi mendapatkan penjelasan?

Sheikh Muhamad Baderudin (SMB): Isu agama seeloknya bincang secara bersemuka untuk perjelas kekeliruan. Namun sejak isu Madrasah Salihiah dihebohkan menerusi akhbar, pihak Jawatankuasa Madrasah Salihiah atau Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) tidak pernah datang jumpa saya atau anggota Majlis Fatwa untuk bertanya keputusan yang telah diputuskan, iaitu merobohkan sementara bangunan itu dan diganti dengan surau baru. Jika mereka ingin tahu hal sebenar, sila bersemuka dengan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, termasuk saya selaku Pengerusi. Saya bersedia memberi penjelasan mengenai keputusan itu kepada mereka yang berkaitan, pada bila-bila masa, kenapa perlu heboh di luar sahaja.

SS: Apa tindakan selanjutnya untuk redakan situasi?

SMB: Saya ingin mempelawa jawatankuasa madrasah dan BBSMS untuk mengadakan pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah untuk memperjelas kedudukan sebenar. Saya bersedia adakan majlis penerangan berhubung isu ini secara tertutup dengan kehadiran pihak berkaitan. Saya juga ingin menjemput pemimpin politik sama ada dari pemerintah mahupun pembangkang untuk turut serta dalam majlis penerangan ini. Malah wakil daripada Maik juga perlu hadir dalam pertemuan ini untuk perjelas sebarang kemusykilan.

SS: Tidakkah ianya wajar diadakan dialog secara terbuka berhubung isu ini?

SMB: Isu agama lebih sesuai diadakan perbincangan secara tertutup terlebih dahulu. Ini bukan isu politik, kenapa perlu sampai buat pelbagai kenyataan tidak enak dalam blog mahupun akhbar. Tak sesuai bincang melalui media secara terbuka..

SS: Sejak kebelakangan ini, isu Madrasah Salihiah turut diberi perhatian pemimpin politik dan NGO dari luar negeri Kedah, apa komen Datuk?

SMB: Jawapan saya mudah sahaja. Saya minta orang luar Kedah jangan campur tangan isu yang berlaku di Kedah. Juga tak perlu ambil pandangan pihak luar untuk selesaikan isu ini.

SS: Ada dakwaan mengatakan Mufti Kedah dipaksa turut kehendak Kerajaan Negeri, dalam membuat keputusan merobohkan madrasah kerana fatwa pertama ianya tidak dibenarkan?

SMB: Saya sebagai Mufti sekadar bagi pandangan, saya tidak boleh paksa mana-mana pihak terima pandangan saya. Pandangan saya sekadar nasihat, bukan wajib dipatuhi. Yang wajib kita ikut arahan hanya daripada mahkamah. Ingin saya tegaskan, pandangan agama dibuat secara muzakarah bukan keputusan saya sendiri, sebaliknya diputuskan secara bersama. Ahli Fatwa yang buat keputusan surau itu boleh dirobohkan berdasarkan kaedah istibdal, iaitu berlaku pindah wakaf kepada manfaat yang lebih besar. Pampasan juga diberi kepada Maik selaku pemegang amanah surau untuk dapatkan wakaf yang baru.

SS: Siapakah anggota Majlis Fatwa di sebalik keputusan yang dibuat?

SMB: Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Kedah dilantik oleh Tuanku Sultan. Justeru keputusan mereka dalam membuat keputusan berkaitan kepentingan Islam tidak wajar dipertikai. Mereka terdiri daripada Datuk Mursyid Diraja (Dr) Syeikh Abd Majid Mohd Noor (Universiti Al-Azhar dan Universiti Ain As-Syam, Mesir); Datuk Wira Syeikh Yahya Jusoh (Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti Al-Azhar, Diploma Undang-Undang Pentadbiran dan Kehakiman Universiti Islam Antarabangsa); Datuk Syeikh Abdul Razak Mohd Yusof (Diploma Pendidikan, Universiti Ain Syam); Datuk Syeikh Abd Hamid Md Tahir (Ijazah Syariah dan Undang-Undang & Diploma Pendidikan, Universiti Al-Azhar); Tuan Syeikh Abdul Rahman Abu Bakar (Diploma Pendidikan, Universiti Ein Syams & Universiti Al-Malik Saud, Riyadh); Profesor Madya Dr Abdul Aziz Hanafi (Ijazah Sarjana Syariah Universiti Al-Azhar, Doktor Falsafah Syariah Politik Islam/Ekonomi Islam); Syeikh Marwazi Dziyauddin (Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Al-Azhar dan Ijazah Sarjana Fiqh dan Usul Fiqh Universiti Malaya); Syeikh Aminudin Abd Rahim (Sarjana Muda Syariah, Universiti Al-Azhar).

SS: Adakah isu ini sudah dipersembah kepada pengetahuan Tuanku Sultan?

SMB: Kelmarin, Tuanku Sultan ada bertanya mengenai isu ini kepada saya. Saya sedang berusaha aturkan perjumpaan dengan Baginda dalam masa terdekat, untuk memperjelas isu madrasah ini, terutama berkaitan fatwa yang dibuat.

SS: Nasihat Datuk kepada pihak yang bertelagah dan cuba perbesar isu ini hingga timbul kekeliruan pada masyarakat?

SMB: Untuk selesaikan isu agama, perlu bertanya kepada ahli agama, bukan rujuk pada orang politik. Mudah difahami, contohnya, bila kita sakit jumpa doktor, bukan ahli agama. Tetapi dalam isu ini, tidak pula bertanya kepada pihak berkenaan yang memang pakar dalam bidang itu. Sekarang orang politik pun nak jadi ahli fatwa, susah lah macam ni…
Ends………..

No comments: