Friday, December 3, 2010

Kerajaan P.Pinang mahu ambil alih Penang Port














GEORGETOWN, 4 Dis. : Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyatakan hasrat untuk membeli dan mengambilalih Penang Port Sdn Bhd(Penang Port).

Hasrat ini dinyatakan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam sepucuk suratnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 2 Disember lalu. Kata Guan Eng tawaran ini dibuat apabila Kementerian Kewangan dilaporkan menerima kertas cadangan daripada pihak swasta untuk mengambilalih dan membeli Penang Port.

Ketika ini Penang Port dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan.

Melalui surat itu juga Guan Eng berkata setiap penswataan utama dan penganugerahan projek akan dilaksanakan dengan telus dan terbuka menerusi Tender Antarabangsa untuk memaksimumkan hasil, yang mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menyertainya.

"Sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya dalam pembelian Penang Port, kami akan membawa masuk rakan teknologi asing dan tempatan, khasnya Melayu Pulau Pinang tempatan, untuk mengendali pelabuhan tersebut dan kemudahannya ke tahap bertaraf antarabangsa. Jika perlu, kami akan menawarkan ekuiti kepada rakan teknologi asing pada harga pasaran," katanya.

Tambahnya, pemilikan ekuiti akan mencipta suatu jajaran kepentingan yang selari antara semua pihak agar pengurusan pelabuhan dapat dibuat dengan cara bertaraf antarabangsa. Kami telah mengenal pasti beberapa rakan strategik kelas dunia dan tempatan tetapi akan meneruskannya melalui proses tender terbuka untuk menggalakkan ketelusan dan mendapatkan urus niaga terbaik.

Turut ditawarkan kerajaan negeri ialah ekuiti kepada Kerajaan Persekutuan sekiranya ada harga diskaun yang bersesuaian daripada harga terbitan pembekal teknologi asing.

Perdana Menteri juga turut dilantik menjadi Pengerusi kepada lembaga penasihat yang diwakil pelbagai tokoh terkemuka daripada Malaysia dan juga antarabangsa yang berpengalaman luas dalam bidang pelaburan, keupayaan dan kelayakan di dalam pengurusan pelabuhan, perdagangan antarabangsa dan logistik.

Tegasnya, di bawah pemilikan baru ini, Penang Port akan mengguna pakai tatacara urus tadbir yang bertaraf antarabangsa selaras dengan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) serta pengurusan tender terbuka untuk semua kelulusan projek dan perolehan dalam usaha untuk mendapatkan nilai terbaik. Seiring dengan Lembaga Penasihat, ini akan mengekalkan "checks and balances" di dalam Penang Port.

"Setiap pulangan daripada keuntungan ini akan disalurkan semula untuk pembangunan strategik dan lain-lain projek sosial yang berkaitan dengan kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan pembasmian kemiskinan untuk meningkatkan taraf hidup dan menjana kemakmuran rakyat Pulau Pinang," katanya yang bersedia membuat pembentangan dihadapan Perdana Menteri.

Penang Port adalah aset strategik utama kepada pertumbuhan ekonomi bahagian utara Malaysia yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta hasil cukai negara.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

No comments: