Friday, December 3, 2010

Umno terima nasihat APCO : Gantung Anwar 6 bulan















PETALING JAYA, 3 Dis: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penggantungannya daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan jika berkuatkuasa hari ini adalah luar biasa.

Ini, katanya kerana keputusan tersebut berkaitan dengan isu Apco yang sepatutnya dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang memerlukan beliau dipanggil untuk memberi keterangan dan membela diri.

Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, beliau tidak pernah dipanggil untuk berbuat demikian tetapi keputusan tersebut dibuat berdasarkan ucapannya semasa perbahasan di Dewan Rakyat.

"Pada saya, tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen itu jelas menafikan hak saya selaku orang yang dituduh. Ini merupakan satu tindakan yang jelas menghina Parlimen dan mengaibkan Parlimen yang mulia," katanya pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, petang ini.

Menurut beliau, tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa itu juga tentunya turut menimbulkan tanda tanya lain kepada pelbagai pihak kerana ia menggambarkan Apco bagaikan begitu berkuasa, ekoran dakwaan yang dibuat oleh beliau mengenai syarikat pelobi pro-Israel antarabangsa itu selama ini.

Dalam persidangan Parlimen, Anwar pernah mendedahkan bahawa kerajaan Umno BN mengupah Apco Worldwide dalam menjalankan misinya dalam komunikasi.

Selain itu, beliau juga mendakwa Apco turut terbabit dalam usaha menggubal slogan 1Malaysia yang dikaitkan dengan slogan 1Israel yang diguna pakai oleh rejim Zionis. Dalam ucapannya di Dewan Rakyat, beliau memberikan pelbagai contoh ketara untuk menunjukkan persamaan antara 1Malaysia dan 1Israel.

Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak membayar lebih RM70 juta sebagai upah kepada Apco untuk khidmatnya itu selain memperbaharui kontrak syarikat itu.

Pada 8 Jun lalu, Anwar telah dipangil oleh Jawatankuasa tersebut berhubung dakwaan beliau bahawa konsep 1Malaysia yang diwar-warkan oleh Najib itu sebenarnya diceduk daripada slogan One Israel di bawah pimpinan Perdana Menteri Ehud Barak pada 1991.

Namun untuk tindakan selanjutnya, beliau tidak pula dipanggil untuk memberikan keterangan yang lebih jelas. Begitu juga dengan usul yang dikemukakan oleh beliau untuk membincangkan perkara itu secara khusus sering ditolak oleh Dewan Rakyat.

Dalam persidangan Dewan Rakyat, Anwar bagaimanapun terus juga memperkatakan perkara itu jika berpeluang bagi membolehkan ia dibincangkan dengan lebih lanjut, memandangkan pembabitan Apco dengan tindakan kerajaan merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh mengundang bahaya kepada negara.

Persidangan Dewan Rakyat bagi tahun ini masih lagi berlangsung. Ia dijangka berakhir sekitar dua minggu lagi. Manakala sesi Parlimen baru dijadualkan bermula 7 Mac tahun depan.

Turut hadir pada sidang media itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh, peguam Anwar dan Mohamed Azmin Ali.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

No comments: