Monday, December 20, 2010

Pengikut ajaran Syiah temui Suhakam

KUALA LUMPUR, 20 Dis . : Empat daripada 200 pengikut ajaran Syiah yang ditahan minggu lalu, hari ini mengadakan pertemuan dengan Suhakam, dipercayai untuk mendapatkan bantuan badan itu.

Bagaimanapun kumpulan yang diketuai Mohd Haidar Mohd Hashim itu enggan memberikan sebarang komen berhubung pertemuan dengan Suhakam.

Walaupun diajukan pelbagai soalan, Mohd Haidar cuma mengatakan pertemuan dengan Suhakam adalah untuk berbincang dan akan mengadakan sidang media dalam tempoh terdekat.

“Hari ini kita hanya mengadakan diskusi dengan Suhakam dan keputusan yang dicapai ini akan dibuat dalam satu sidang media nanti.

“Saya minta maaf kerana tidak boleh beritahu apa yang dibincangkan, kita akan adakan lagi pertemuan dengan Suhakam. Saya tidak boleh kata apa-apa kerana ia turut melibatkan institusi lain, saya kena jaga imej institusi lain juga,” katanya kepada pemberita sebaik sahaja selesai mengadakan pertemuan dengan Suhakam di sini.

Pertemuan itu diadakan sekitar 2 petang tadi dan berlarutan kira-kira satu setengah jam.

Mohd Haidar bagaimanapun tidak menolak pertemuan dengan Suhakam hari ini adalah untuk mendapatkan penjelasan dan nasihat berhubung tangkapan 200 pengikut ajaran Syiah.

“Kita jumpa untuk dapatkan penjelasan dan nasihat daripada Suhakam, dalam minggu ini kita akan datang lagi.

“Semua sudah selesai tapi kita diminta supaya tidak buat sidang media hari ini,” katanya.

Minggu lalu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan 200 pengikut dan dua ketua kumpulan ajaran itu di sebuah rumah kedai di Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor pada Khamis lepas.

Sebahagian pengikutnya yang ditahan merupakan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), peguam dan kakitangan kerajaan.

Pengikutnya terdiri daripada 75 lelaki dan 35 wanita tempatan, enam wanita dan tiga lelaki warga Indonesia, dua wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki Pakistan, Myanmar dan Iran, manakala selebihnya kanak-kanak.

Dalam serbuan sepasukan penguat kuasa Jais, kesemua pengikut sedang khusyuk berselawat dan mendengar khutbah daripada seorang lelaki warga Iran.

Ia merupakan penahanan terbesar melibatkan pengikut ajaran yang didakwa sesat dicatatkan di Selangor setakat ini.

Jais percaya ajaran tersebut turut tersebar di negeri-negeri lain.
Kumpulan yang ditahan itu menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh.

Dua ketua kumpulan itu telah dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Manakala pengikut lain pula turut dibebaskan dengan jaminan Jais dan akan dipanggil untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

No comments: