Monday, December 20, 2010

Syabas sombong kerana kroni Umno

Kerajaan Negeri Nekad Tarik Balik Lesen SYABAS


SHAH ALAM 20 Dis.: Kerajaan negeri nekad menarik balik lesen Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana keengganan syarikat itu menghentikan program Tabung Budi walaupun telah menerima surat arahan agar tidak meneruskan program berkenaan.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata, kerajaan negeri telah menghantar surat pemberhentian program berkenaan kepada Syabas termasuk Ahli Lembaga Pengarah Syabas supaya mereka jelas dengan peranan penubuhan syarikat itu.

Hari ini, Syabas menerusi Berita Harian memberitahu pihaknya tidak akan menghentikan program tersebut walaupun kerajaan negeri Selangor menyatakan hasrat menarik lesen pembekalan air.

Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pentadbiran Syabas, Zainuddin Othman menjelaskan, program Tabung Budi yang dilancarkan sejak Ogos lalu hanya akan diberhentikan jika syarikat itu menerima arahan daripada pihak berkuasa.

Mengulas kenyataan tersebut, Faekah menjelaskan, Syabas layak diberhentikan perkhidmatannya kerana telah melanggar matlamat penubuhannya.

“Kerajaan negeri telah mengambil keputusan menamatkan lesen Syabas dan ini adalah salah satu daripada pelanggaran-pelanggaran yang telah dilakukan oleh Syabas dan adalah lebih mudah untuk pihak kerajaan negeri untuk membatalkan lesen mereka”.

“Syabas telah melanggar matlamat penubuhannya, yang jelas Syabas bukan syarikat kebajikan, sebaliknya syarikat yang bertanggungjawab mengurus air,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim menyatakan Kerajaan Selangor hanya menunggu masa untuk mengambil tindakan mahkamah selepas Syabas terus enggan menghentikan program tersebut walaupun tempoh 14 hari diberikan, berakhir 6 Disember lalu.

Arahan menghentikan program tersebut dikeluarkan mengikut subseksyen 12(2) Akta pembekalan Air 1997 atas kesalahan syarikat berkenaan melanggar syarat perjanjian konsesi.

“Notis yang kita keluarkan kepada mereka mempunyai tempoh masa dan kita tunggu proses itu,” jelasnya.

No comments: