Monday, December 20, 2010

Tegur Umno dulu

Pluralisme: Umno perlu cermin diri sendiri

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjM1JC-Xl9BSKbYk263pFfwMPaXkZcnH9VupxlfDpS4DsWy1yUbT3xSA5cdwrH12sz2fbwKPfReg9wMBB4dM77t7N9qCz1CHgCcu9ojC6aK0z-hVu5onMl7AbymHlUBUQNCJzH-aZqf_t8/s400/Tuan+Haji+Mohamad+Sabu+12.jpgKUALA LUMPUR, 21 Dis: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diminta menegur dahulu tindakan Umno BN yang dilihat bukan sahaja mengamalkan pluralisme tetapi mengelirukan rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohammad Sabu berkata, Jamil Khir seharusnya berani bersuara menyatakan pendirian berhubung beberapa perlakuan pemimpin Umno BN yang secara jelas tidak mengikut ajaran Islam sebenar.

"Umno/BN masih keliru dengan apa yang dibuat mereka, contohnya penganjuran Islamic Fashion Festival oleh (Datin Seri) Rosmah, perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam seperti meyambut tahun baru yang melampaui batas dan mendapat keizinan kerajaan.

"Semua perbuatan mereka tidak melambangkan apa yang mereka cakap," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Jamil Khir bahawa fahaman pluralisme agama adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Jamil Khir mengulas pandangan yang berpendapat bahawa golongan yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman pluralisme ala John Hick dan perlu ditentang kerana fahaman tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.

Mohammad juga berkata, jika Jamil Khir boleh mengeluarkan kenyataan bahawa fahaman pluralisme agama mampu membuat orang Islam terpesong dari landasan Islam sebenar, beliau juga harus menyedari ianya juga berlaku dalam Umno BN.

kekeliruan ini ujarnya dapat dilihat dalam kes penggunaan kalimah Allah yang tidak selaras di setiap negeri dan kes penangkapan individu yang dikatakan pengikut ajaran Syiah di negara ini.

"Begitu juga dalam kes mereka melakukan penangkapan yang dikatakan golongan syiah itu dan sama juga kes penggunaan nama Alllah. Di Wilayah Persekutuan boleh guna, di sabah sarawak boleh guna, tapi negeri lain tak boleh.

"Jadi kita pun tak tahu bagaimana ukuran Islam oleh Jamil Khir," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Jamil Khir agar berbincang dengan ulama muktabar sebelum mengeluarkan sesuatu pendapat agar ianya tidak mengelirukan rakyat.

"Kita harap beliau boleh bincang lagi dengan ulama muktabar untuk mengeluarkan pandangan sebab belaiu menteri, sudah tentu sebarang pandangan beliau diambil kira.

"Bincang dulu dengan ulama muktabar. Beliau bekas askar sahaja, tahu berkawat sahaja," katanya berseloroh.

No comments: