Monday, December 20, 2010

Selagi BN memerintah jangan harap tol dihapuskan

Isu PLUS : Kerajaan Digesa Memihak Kepentingan Rakyat


SHAH ALAM 21 Dis. : Kerajaan Umno-Barisan Nasional digesa membuat keputusan yang memihak kepada kepentingan rakyat dalam isu pengambilalihan PLUS Expresway Bhd termasuk aset dan liabiliti bernilai RM26 bilion oleh Jelas Ulung Bhd.

Bercakap kepada Tv Selangor, ahli parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan mempunyai keupayaaan untuk menguruskan PLUS dan tidak perlu membiarkan PLUS diterajui oleh syarikat swasta.

" Kerajaan sememangnya mampu untuk ambil alih lebuhraya ini. Jadi kita hendak ia menasionalisasi, mengambil alih lebuhraya ini supaya kita boleh menentukan
kadar tol.

" Pembiayaan itu boleh dibuat melalui pelbagai cara. Dan kita bukan kata, ia serta merta untuk menghapuskan tol dalam beberapa tahun tetapi sekiranya kadar tol itu dapat dikurangkan berperingkat-peringkat dan mungkin dalam tempoh 6 hingga 7 tahun, tol itu dapat dihapuskan," ujar Anthony Loke ketika diminta mengulas tawaran Jelas Ulung Sdn Bhd yang bercadang mengambil alih syarikat lebuhraya bertol terbesar di Asia Tenggara itu.

Anthony Loke pada Konvensyen Kebangsaan Kedua Pakatan Rakyat Ahad lalu mencadangkan, tol lebuhraya dihapuskan. Ia bertujuan mengurangkan bebanan rakyat yang semakin dihimpit dengan beban ekonomi.

Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekomoni pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama sekiranya berjaya mentadbir Malaysia.

Justeru bagi permulaan proses reformasi itu, 100 hari pertama akan menyaksikan pelbagai pembaharuan dilakukan termasuk memansuhkan tol.

" Sekiranya kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan, kita tidak akan membenarkan pihak swasta memiliki lebuhraya ini.

" Cadangan kita ialah supaya badan-badan kerajaan dan syarikat-syarikat kerajaan mengambil alih keseluruhan saham. Apabila itu telah dijadikan sebagai milik kerajaan, maka kerajaan ada kuasa untuk menentukan kadar tol dan kita boleh beberapa tahun selepas mengambil alih, selepas hutang-hutang mengambil alih itu dijelaskan, maka itu boleh menjadikan lebuh raya itu bebas tol.

" Tetapi kita tidak akan menyokong sebarang usaha untuk menjual pegangan dalam PLUS ini kepada syarikat swasta kerana apabila syarikat swasta yang mendapat
pegangan dalam syarikat ini, maka ia menjadi milik swasta. Jadi mereka mungkin tidak mengambil berat kebajikan dan kepentingan rakyat," jelas Anthony Look lagi.

Terbaru, Jelas Ulung Sdn Bhd, dengan sokongan Bank of China (BOC), menawarkan untuk mengambil alih semua perniagaan PLUS Expressway Bhd termasuk aset dan liabiliti dengan harga RM26 bilion.

Ia beberapa hari sebelum pemegang saham PLUS memutuskan tawaran RM23 bilion daripada UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebelum ini, Asas Serba Sdn Bhd mengumumkan rancangannya untuk mengambilalih syarikat-syarikat pemegang konsesi tol di negara ini. Ia akan menubuhkan sebuah syarikat konsesi untuk menerbitkan bon dividen sehingga RM50 bilion bagi membiayai pengambilalihan itu.

" Mana-mana pihak memang boleh membuat cadangan tetapi yang pentingnya kerajaan perlu membuat keputusan yang memihak kepada kepentingan awam," jelas Anthony Loke lagi.

No comments: