Monday, January 17, 2011

BN naikkan harga barang, rakyat turunkan harga BN

Harga barang naik, turunkan BN

Artikel : Harga barang naik, itulah yang menanti rakyat sebaik tahun 2011 menjelma. harga barangan keperluan harian telah naik sejajar dengan kenaikan harga bahan mentah terutamanya gas, minyak dan lain-lain cukai.

Seperti biasa, para pemimpin akan memberikan alasan lapuknya yang sudah diketahui umum. Juga para menteri akan mengingatkan rakyat supaya berhemah dalam berbelanja sejajar dengan wang ada. Kesemua lawak pak menteri itu sudah tidak menjadi lawak lagi kerana majoriti rakyat hari ini semakin cerdik dan celik maklumat.

Rakyat mula sedar mereka sewenang-wenangnya terpaksa menanggung segala kos kenaikan akibat penarikan balik subsidi. Alasan klise penarikan subsidi ialah kerajaan tidak mampu lagi menanggung beban tersebut dan rakyat kononnya perlu bersama-sama menanggung beban.

Namun, dalam hal ini para pemimpin sama ada tidak sedar (atau buat-buat tidak sedar) bahawa rakyat turut memerhatikan dan menghadam setiap maklumat tentang projek-projek besar kerajaan yang menelan kos bilion ringgit, tetapi pada masa yang sama projek itu tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada rakyat.

Seolah-olah pemimpin hari ini buta sejarah. Mereka patut sedar bahawa kejatuhan hampir semua empayar besar dan kecil didunia akibat pemerintah yang tidak lagi ambil kisah keluh-kesah rakyat.

Oleh itu kisah yang berlaku di Mesir pada zaman Abbasiyah ini wajar diambil iktibar oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.

Pemerintah Mesir pada masa itu ialah Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz. Baginda memerintah Mesir pada 1259 hingga 1260. Antara jasa beliau yang paling diingati ialah kejayaannya menewaskan tentera Mongol dalam peperangan Ain Jalut.

Pada ketika itu seluruh kota Islam iaitu Baghdad, Syria dan Asia Tengah sudah ditakluki tentera Mongol. Hanya tinggal adalah tiga kota Islam iaitu Makkah, Madinah dan Mesir.

Untuk menghadapi kemaraan Mongol ini Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz mengarahkan cukai agar cukai dinaikkan bagi menampung kelengkapan dan perbelanjaan perang.

Justeru itu cukai-cukai dinaikkan sehingga membebankan rakyat. Para ulama telah dipanggil supaya memberi fatwa kerana zaman itu adalah zaman Islam dilaksanakan. Ulama-ulama disoal tentang kewajaran cukai tersebut, semua ulama mengizinkan pemerintah menaikkan kadar cukai bagi menyediakan keperluan pertahanan kerana negara berada dalam keadaan darurat.

Namun, dalam kalangan ulama tersebut ada seorang dengan tegas membantah tindakan pemerintah mesir itu. Padahal semua maklum suasana ketika itu adalah DARURAT.

Ulama tersebut ialah Izzuddin Abdus Salam (Al-Iz Abdul Salam). Bagi sultan, persetujuan ulama ini amat penting kerana pengaruh beliau lebih tinggi daripada sultan Mesir sendiri. Oleh hal yang demikian Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz mengadap beliau (bukan ulama mengadap pemimpin) memohon restunya dan sokongan terbukanya untuk menaikkan cukai demi keselamatan negara.

Al-Iz Abdul Salam bersetuju pada dasarnya dan akan mengumumkan persetujuannya di dalam khutbah jumaat pada hari itu. Beliau meminta Sultan hadir sama bersolat jumaat dan baginda boleh mendengar sendiri khutbah Jumaat dan persetujuan Al-Iz Abdul Salam.

Di dalam khutbah Al-Iz Abdul Salam menyokong perancangan pemerintah hendak mengunakan cukai dengan satu syarat sahaja iaitu sultan dan keluarganya hendaklah terlebih dahulu menjual istana-istana mereka serta perhiasan-perhiasan yang ada pada mereka dan anak isteri mereka semuanya dan digunakan untuk perbelanjaan peperangan. Jika tidak cukup maka barulah cukai baru kepada rakyat dikenakan.

Tentu sahaja pendapat ulama itu kurang disenangi oleh Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz. Namun, baginda akhirnya akur dengan saranan tersebut.

Berkat mematuhi saranan ulama berkenaan, juga restu rakyat, baginda akhirnya berjaya dalam misinya mengalahkan tentera Mongol pada 3 September 1260, di tempat yang bernama Ain Jalut. Kemenangan baginda ini menyebabkan tentera Mongol menghentikan usaha untuk menakluk negeri lain akibat kerugian dan kekalahan yang dialaminya.

Iktibar daripada kisah Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz dan Izzuddin Abdus Salam amat wajar diteladani khususnya dalam menghadapi suasana kenaikan kos hidup kini.

Jika dalam keadaan darurat pun tidak dibenarkan bebanan didahulukan kepada rakyat, apatah lagi dalam keadaan Malaysia yang dikata ekonominya sedang berkembang pesat.

Pada ketika inilah pemimpin mestilah terlebih dahulu menunjukkan sikap berjimat cermat. Namun, yang berlaku pada hari ini para pemimpin menyuruh rakyat berhemat dalam berbelanja tetapi pada masa yang sama mereka menggunakan wang cukai untuk projek yang tidak mendatangkan manfaat kepada majoriti rakyat.

Contohnya cadangan membina menara warisan yang membabitkan wang RM5 bilion. Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan menara 100 tingkat itu dirancang dan dicadangkan Permodalan Nasional Bhd (PNB) kepada kerajaan.

Jika benar pun pembinaan menara ini daripada PNB, apakah PM tidak boleh mencadangkan kepada PNB agar wang tersebut digunakan untuk menampung kos kenaikan harga gas/minyak misalnya. Perlu diingatkan bahawa PNB adalah syarikat GLC yang kerajaan juga mempunyai saham didalamnya.

Para pemimpin pula secara sukarela memotong elaun mereka dan dimasukkan ke dalam tabung khas demi menampung kenaikan kos gas/minyak, tol dan sebagainya. Jika dilakukan, berapa banyakkah wang negara dapat dijimatkan. Majlis-majlis yang kurang memberi manfaat kepada rakyat wajar ditangguhkan, termasuk majlis sambutan tahun baru. Mungkin kos sambutan tersebut sekadar ratusan ribu, tetapi jika ada 10 majlis yang seumpamanya, berapakah kos yang terpaksa dikeluarkan?

Janganlah pula mengatakan bahawa kos sambutan tersebut ditanggung oleh pihak swasta atau sumbangan peribadi. Lebih elok jika wang tersebut diambil tetapi digunakan untuk keperluan rakyat seperti memberi biasiswa kepada pelajar miskin.

Slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, adakah bermaksud rakyat didahulukan membayar segala kos kenaikan hidup? Rakyat didahulukan merasai kesusahan? Rakyat didahulukan membayar segala kenaikan cukai?

Adakah kita akan selamanya akan membiarkan kita “didahulukan”? Jika terlalu sukar untuk memahami kesusahan rakyat dan tidak pernah ambil pusing tentang kenaikan kos sara hidup. Eloklah kita turunkan sahaja mereka. mari kita mulakan dalam PRK Dun tenang ini.

No comments: