Monday, January 17, 2011

Najib bakal tarik subsidi untuk rakyat lagi

PAS bimbang cadangan kerajaan teliti subsidi

KOTA BHARU, 17 Jan: PAS melahirkan kebimbangannya terhadap cadangan kerajaan untuk meneliti pelaksanaan subsidi kerajaan berjumlah lebih RM10 billion, memandangkan rakyat akan menghadapi kenaikan harga barang yang lebih berganda pada masa akan datang.

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa, berkata kebiasaannya rakyat akan menghadapi kenaikan harga barang keperluan harian apabila subsidi itu diteliti semula.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menziarahi adik Muhammad Shakir 14 bulan yang menderita akibat tiada lubang najis sejak ianya dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab ll di sini petang tadi.

Kenyataan itu sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang berkata, Jabatan Perdana Menteri akan berbuat demikian bagi memberi impak yang besar kepada rakyat.

Husam yang juga anggota exco kerajaan negeri seterusnya berkata, barangan keperluan seperti minyak, gula, gas memasak dan lain-lain akan naik harga berlipat kali ganda selepas kajian semula terhadap subsidi.

"Bulan Disember lalu empat kali kenaikan harga barang berlaku termasuk kenaikan empat dalam satu, iaitu minyak, gula, gas dan minyak masak.

"Selaras dengan itu kos hidup rakyat semakin membebankan, apa lagi awal tahun ini rakyat telah menghadapi kenaikan harga barang yang semakin teruk terutama bawang putih yang meningkat kepada 62 peratus.

"Harga gula dijangka akan meningkat lagi berikutan Brazil pengeluar gula akan menaikkan harganya berikutan banjir besar yang melanda negara itu baru-baru ini,"ujarnya.

Sambungnya, alasan kerajaan kononnya harga barangan terpaksa dinaikkan kerana negara ini terikat dengan terbuka mengikut pasaran antarabangsa.

Namun bagaimanapun, tambahnya kerajaan tidak pula mengikut harga pasaran kereta negara sebagaimana yang dijual di peringkat dunia yang jauh lebih murah berbanding yang dijual kepada rakyat di negara sendiri.

Sehubungan itu, beliau menyeru Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamed, memansuhkan perkara ini kerana ianya membebankan rakyat.

Katanya, sekiranya harga barangan keperluan harian diguna pakai ikut pasaran dunia, kenapa pembelian kereta pula tidak dibuat sedemikian.

"Kerajaan perlu selaraskan perkara itu, jangan hanya guna pakai sistem yang menguntungkan pemimpin kerajaan semata-mata hingga membebankan rakyat,"ujarnya lagi.

No comments: