Tuesday, November 23, 2010

Dua menteri akan 'mengadap' Gani Patail


KUALA LUMPUR, 24 Nov .: Pentadbiran Najib telah mengarahkan dua menteri Kabinet agar menyoal Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung dakwaan peranan beliau dalam insiden mata lebam melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengejutkan negara 12 tahun lalu. The Malaysian Insider difahamkan Kabinet memutuskan langkah itu selepas seorang bekas pegawai polis Datuk Mat Zain Ibrahim mendakwa mempunyai maklumat terbaru berkaitan insiden itu, yang menurutnya turut melibatkan peranan Gani.

“Sekarang saya telah diarahkan (oleh Kabinet), Datuk Rais dan saya sendiri agar bercakap dengan Peguam Negara. Kami menunggu beliau pulang dari Mekah,” kata Nazri kepada The Malaysian Insider.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu The Malaysian Insider, Kabinet mahu mendengar sendiri daripada Gani sendiri mengenai dakwaan terbaru Mat Zain dalam satu lagi surat terbukanya kelmarin sebelum mengambil tindakan susulan.

“Kami mahu mendengar daripada Peguam Negara sendiri (mengenai surat terbuka).

“Ini perkara yang serius. Jika beliau (Mat Zain) bercakap benar, kita kena mendapatkan maklumat lanjut... tetapi sehingga itu, tiada apa-apa keputusan,” kata Nazri.

Dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar kelmarin, Mat Zain, yang merujuk kepada usul memotong gaji Peguam Negara RM10 yang dibawa Lim Kit Siang di Parlimen pada 9 November lalu, mengesahkan telah menghantar e-mel kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur itu pada 14 April lalu.

“Sebagai membalas komen beliau terhadap PDRM berkaitan siasatan kes mata lebam, yang sedikit tersasar. Saya turut megesahkan bahawa kenyataan-kenyataan yang beliau petik daripada surat saya bertarikh 15 April 2009 kepada Lembaga Penasihat SPRM dan surat terbuka kepada YBhg Datin Kalsom Taib bertarikh 8 Oktober 2010 (surat terbuka pertama), yang salinannya saya e-mel kepada Tan Sri, adalah betul setakat yang terkandung dalam salinan-salinan asal surat-surat berkenaan.

“Saya akan merujuk kepada kandungan surat-surat tersebut apabila, atau jika berkenaan,” kata Mat Zain.

Ekoran isu dibangkitkan oleh Lim di Parlimen, Nazri telah memaklumkan bahawa akan membawa isu itu ke Kabinet yang bermesyuarat 12 November lalu.

Beliau turut mengumumkan penjelasan akan diminta daripada Gani bagi memberinya peluang untuk menjelaskan diri beliau yang merupakan hak beliau kepada pendengaran yang adil.

“Saya menyokong sepenuhnya Tan Sri Gani diberikan hak sedemikian oleh kerana hak kesamarataan dari sudut undang-undang dan hak pendengaran yang adil adalah merupakan hak asasi individu yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan wajar dihormati oleh semua pihak.

“Bagaimanapun apa yang menjadi kemusykilan saya kini ialah apabila penjelasan diberi oleh Tan Sri Gani, seorang Peguam Negara, dalam bentuk apa sekalipun, sama ada secara lisan atau kenyataan akhbar atau representasi dan lain-lainnya, pihak berkuasa manakah yang layak dan berhak serta mempunyai kuasa untuk memberikan pendengaran adil kepada semua pihak terlibat dalam persoalan ini.

“Dan, tidak hanya adil kepada Tan Sri Gani seorang sahaja. Sesuai untuk saya nyatakan di sini bahawa pihak-pihak yang terlibat, bukan setakat empat individu yang dinamakan dalam laporan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Tan Sri Gani, Tan Sri Musa Hassan (bekas Ketua Polis Negara), Dr Abdul Rahman Yusof dan saya sendiri,” katanya,

Mat Zain juga berkata, Jabatan Peguam Negara, polis dan Kementerian Kesihatan juga merupakan pihak yang mempunyai kepentingan dalam perkara ini.

Malah dalam surat terbuka itu, Mat Zain menggesa kerajaan mendedahkan secara terperinci insiden itu bagi mempertahankan imej dan kredibiliti pasukan polis.

Dalam kenyatannya semalam, Lim yang juga Penasihat DAP berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Nazri berhubung isu yang dibangkitkan oleh bekas pegawai kanan polis itu.

Pada Julai 2008, Anwar membuat laporan polis mendakwa Gani, Mat Zain, Musa yang ketika itu pegawai penyiasat dan Dr Abdul Rahman telah memalsukan satu laporan perubatan mengenai kejadian mata lebam itu.

Tan Sri Rahim Nor, ketika kejadian merupakan Ketua Polis Negara, telah mengaku kepada suruhanjaya diraja siasatan bahawa telah memukul Anwar ketika ditahan di Bukit Aman.
Kejadian itu berlaku selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno.

No comments: