Tuesday, November 23, 2010

Saksi terdesak rujuk nota laporan semasa rehat

saifulhkl
KUALA LUMPUR, 23 Nov. : Pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Siew Sheue Feng didakwa menyegarkan ingatannya dengan merujuk kepada nota laporannya semasa perbicaraan kes Fitnah II ditangguhkan pada waktu rehat walaupun sebelum ini beliau berkali-kali enggan merujuk kepada dokumen tersebut apabila diminta oleh ketua peguambela Karpal Singh.

Karpal berkata Dr Siew enggan merujuk kepada laporan proforma iaitu satu senarai yang dilengkapkan sebelum menjalankan pemeriksaan ke atas seseorang pesakit tetapi pada masa yang sama sempat membuat rujukan ke atas dokumen ketika mahkamah berehat.

“Ketika mahkamah berehat, saksi memilih untuk menyegarkan memorinya dengan melihat pada laporan. Dia telah mengakuinya. Dia boleh didakwa. Yang Arif harus mengambil masa untuk memutuskan perkara ini,” kata Karpal.

Dengan berbuat demikian hujah beliau, doktor tersebut telah melakukan dua kesalahan - menghina mahkamah dan mencampuri pentadbiran kehakiman

Jelas Karpal seorang saksi itu terus kekal dalam keadaan mengangkat sumpah walaupun ketika waktu rehat, dan tindakan Dr Siew menyegarkan ingatannya dengan melihat pada nota-nota klinikal menjurus kepada kesalahan menghina mahkamah.

Sehubungan itu Karpal mahu mahkamah menyerahkan kepada pihak pembelaan apa sahaja bahan atau dokumen yang telah digunakan oleh Dr Siew untuk mengingat kembali memori beliau.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II Datuk Yusof Zainal Abiden membantah dengan mangatakan tiada peruntukan perundangan yang menyekat had masa seseorang saksi menyegarkan ingatannya.

No comments: